PASIR MAS: Pengumuman harga lantai getah kepada RM3 sekilogram dalam Belanjawan 2024 disifatkan ‘hadiah’ kepada penoreh selepas dibuai ketidaktentuan nilai komoditi itu sebelum ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penoreh meluahkan rasa syukur dan menzahirkan perasaaan gembira serta terima kasih dengan pengumuman tersebut.
Seorang penoreh getah, Zizah Syafie, 60, berkata, kenaikan 30 sen berbanding RM2.70 sebelum in mampu meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.
“Sebulan kami memperoleh pendapatan sekitar RM300, jika harga lantai getah ditetapkan sebanyak RM3 sekilogram, ia sedikit sebanyak dapat mengukuhkan kewangan keluarga kami selepas ini.
“Walaupun terpaksa berkongsi hasil kerana mengusahakan kebun getah secara pawah, namun kenaikan itu sudah membantu,” katanya ditemui di Kampung Serongga di sini semalam.
Zizah memberitahu, kenaikan harga getah itu amat wajar kerana rakyat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu, Maizatul Akma Mohd Noh, 37, berkata, walaupun kenaikan itu sedikit tetapi ia tetap memberi manfaat kepada penoreh.
Katanya, ketika ini pendapatan menoreh getah merosot kerana musim hujan dan tinggal beberapa bulan lagi akan dilanda banjir.
“Bulan ini saya tidak keluar menoreh lagi kerana hujan dan pokok getah basah. Inilah nasib penoreh getah, bukan setakat getah murah tetapi hendak menoreh pun susah kerana faktor cuaca,” ujarnya.-UTUSAN










