KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi membenarkan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita dua akaun bank parti itu.
Dua akaun tersebut merupakan akaun sama yang pernah dibekukan oleh agensi terbabit sebelum ini.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memberikan kebenaran tersebut dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian selepas mendapati permohonan semakan kehakiman parti berkenaan bukanlah satu perkara yang remeh atau menyusahkan.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 November ini untuk pengurusan kes semakan kehakiman tersebut.
Pada 29 Mei, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun banknya untuk siasatan.
Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.
Menurut afidavit yang difailkan Bersatu menyatakan, pada 19 April lalu, akaun CIMB dan Ambank miliknya telah disita tanpa membuat serahan perintah penyitaan tersebut di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pada 20 April lalu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menyita dua akaun bank milik Bersatu bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.
Menurut plaintif, tindakan SPRM membekukan kesemua akaun milik Bersatu secara salah berdasarkan tuduhan-tuduhan palsu, tohmahan dan fitnah jahat secara bersekongkol dengan pemimpin kerajaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Muhyiddin.
Oleh itu, Bersatu memohon antaranya perintah untuk membatalkan perintah SPRM menyita akaun-akaun Ambank dan CIMB mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001.
Ia juga memohon perintah supaya SPRM menyerahkan Perintah Penyitaan (yang didakwa salah) yang sehingga kini masih tidak pernah diserahkan kepada Bersatu walaupun diminta berkali-kali yang mencabul hak pemilikan harta parti berkenaanTurut dimohon.
Parti itu turut memohon perintah supaya SPRM membebaskan keseluruhan akaun Bank Bersatu daripada sebarang kekangan dan pembekuan dan selanjutnya perintah supaya CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank (M) Berhad membebaskan akaun berkenaan.-UTUSAN










