PUTRAJAYA: Peruntukan RM41 bilion bagi sektor kesihatan menerusi Belanjawan 2024 membuktikan kerajaan serius dan sedar kos penjagaan kesihatan semakin meningkat khususnya di hospital swasta.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pengumuman kerajaan memberikan peruntukan khas bagi penyumberan luar dari sektor awam ke swasta perlu disegerakan kerana ada pesakit sedang menunggu untuk dirawat secepat mungkin.
Dalam tindakan itu, kata beliau, kaedah berkenaan mesti berjalan lancar supaya pesakit di hospital awam boleh dirawat dengan cepat di hospital swasta apabila berlaku kekurangan kapasiti penjagaan kesihatan di fasiliti awam.
“Pesakit perlu dibantu segera, bukan terpaksa menunggu kemudahan penjagaan kesihatan baharu dibina sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Pada ketika ini, perkongsian sumber antara awam dan swasta merupakan kaedah terbaik. Harapan kami hospital swasta dibenarkan untuk terus melaksanakan perkhidmatan tanpa terlalu banyak kawalan kos kerana pesakit mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM41.2 bilion bagi sektor kesihatan menerusi Belanjawan 2024, peningkatan RM5.5 bilion berbanding Belanjawan 2023.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta dikhususkan untuk kerjasama dengan menyumber luar pesakit ke hospital lain termasuk hospital swasta.
Menurut Perdana Menteri, sejumlah RM5.5 bilion daripada peruntukan tersebut adalah bagi memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.
Selain itu katanya , bagi menyelesaikan permasalahan kesesakan di hospital, mulai tahun hadapan beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan.
Antaranya ialah Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta, kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah
Aminah 2, Johor Bahru, Johor dan Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab.Kelantan dengan kos RM5 juta.
Selain itu, termasuklah pembinaan bangunan tambahan Unit Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang serta lima buah klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta.
Katanya, kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak.
Di samping itu, kata Perdana Menteri, sebanyak RM300 juta disediakan untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang. – UTUSAN










