Belanjawan 2024: Peruntukan RM10 juta kepada KPDN bersesuaian cabaran bakal dihadapi    - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024: Peruntukan RM10 juta kepada KPDN bersesuaian cabaran bakal dihadapi   

ARMIZAN Mohd. Ali (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta orang kurang upaya (OKU)  pada majlis perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu di  Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganggap peruntukan RM10 juta oleh kerajaan melalui Belanjawan 2024 bersesuaian dengan cabaran bakal dihadapi dengan pelaksanaan subsidi bersasar yang dirancang kerajaan.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, KPDN dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga akan memperkukuhkan kerangka perundangan menerusi pindaan Akta Persaingan 2010 bagi mengatasi pelbagai isu termasuk gejala kartel.

Menurutnya, pindaan akta berkenaan sangat penting bagi mewujudkan ekosistem perdagangan dan pembangunan ekonomi yang sihat selain mengawal selia proses saingan dengan lebih tersusun.

Katanya, menerusi tambahan peruntukan itu, pihaknya dapat menambah bilangan pegawai penyiasat di dalam MyCC yang sebelum ini cukup terhad hanya seramai 17 orang sahaja.

“Pegawai penyiasat ini nanti bukan sahaja akan tertumpu kepada isu kartel bahkan masalah penipuan bidaan projek-projek kerajaan, masalah ketirisan tender dan penguatkuasaan undang-undang.

“Selain itu kita akan teruskan hasrat meminda Akta Persaingan 2010 bagi mengukuhkan kerangka perundangan sekaligus menyelesaikan isu berbangkit termasuk kartel,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada KPDN dan MyCC untuk membantu mengukuhkan pelaksanaan subsidi bersasar dirancang kerajaan.

Tambah Armizan lagi, operasi pemantauan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan seiring pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan bagi memastikan pemain industri tidak ‘bermain harga’.

“Antara ciri-ciri kartel ini adalah berlaku salah laku penipuan bidaan atau penetapan harga yang dilakukan dalam industri dan kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya