Belanjawan 2024: Beri peruntukan perkasa bahasa Melayu

Belanjawan 2024: Beri peruntukan perkasa bahasa Melayu

MUHAMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2024 esok menekankan kepada usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Presidennya, Muhamad Faisal Abdul Aziz berkata, gesaan tersebut selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, dengan kedudukan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut, ia menandakan wajar untuk segala usaha memartabatkan bahasa Melayu diperkasa dengan peruntukan yang besar.

“Antara usaha yang perlu diberikan peruntukan program wacana serta menghadam karya-karya agung dalam bahasa Melayu untuk membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda berdasarkan kepada warisan budaya negara ini.

“Peruntukan yang lebih besar kepada usaha untuk memartabat bahasa Melayu juga boleh dimanfaatkan untuk merangsang program penyelidikan serta pembangunan yang meliputi pelaksanaan program penterjemahan yang lebih agresif membabitkan istilah semasa serta penerbitan bahan-bahan ilmiah khususnya membabitkan bidang sains dan teknologi.

“Natijah daripada program penyelidikan dan pembangunan ini juga boleh dikembangkan kepada usaha jangka panjang untuk menerbitkan kamus bahasa Melayu antarabangsa meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei dan rantau Nusantara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhamad Faisal berkata, usaha memperkasa bahasa Melayu juga perlu meliputi usaha untuk ‘membumikan’ bahasa kebangsaan tersebut sehingga ke akar umbi khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Antaranya ialah membiayai program serta inisiatif untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah.

“Ini termasuk membiayai penerbitan serta penyebaran majalah, novel serta buku-buku ilmiah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu baku serta berunsur nilai-nilai positif kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, institusi dan agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diperkasakan peranannya sehingga ia dapat mempengaruhi pelaksanaan dasar yang menyentuh kedudukan bahasa Melayu sesuai dengan peruntukan yang ditetapkan.

“Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu juga diperkasakan menerusi jalur industri kreatif dengan melibatkan syarikat korporat serta pempengaruh dalam aktiviti kebahasaan untuk membolehkan penghasilan bahan kandungan dalam bahasa kebangsaan dapat ditingkatkan.

“Mengambil kesempatan ini, ABIM juga menegaskan bahawa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu yang  baku dalam penghasilan bahan kandungan, penyiaran dan pengiklanan perlu dilaksanakan di samping pelbagai inisiatif serta galakan yang lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya