Bayi tujuh bulan mangsa banjir positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Bayi tujuh bulan mangsa banjir positif Covid-19

NOOR Azman Ghazali (dua dari kanan) bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kerian membantu seorang warga emas dipindahkan ke PPS SK Alor Pongsu berikutan banjir di Kampung Selekoh, Matang Pasir Alor Pongsu di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di sini akibat banjir, disahkan positif Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali yang memaklumkan perkara itu berkata, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Selama di sini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan petugas dan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut lebih berhati-hati dan menjaga kesihatan sepanjang berada di pusat tersebut.

“Saya berharap semua anggota agensi yang bertugas dan mangsa banjir di PPS itu sentiasa menjaga kesihatan mereka dan berharap agar penyakit itu tidak merebak,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Selekoh, Matang Pasir di sini hari ini.

Menurut Noor Azman, sebuah lagi PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dibuka pada pukul 3 petang tadi yang menempatkan lebih 10 buah keluarga dari Kampung Selekoh Matang Pasir ekoran banjir.

Dalam masa yang sama, katanya, paras air semakin meningkat dengan bacaan lebih satu meter di Jalan Bagan Serai-Selama.

” Laluan itu ditutup kepada semua jenis kenderaan. Pengguna perlu mengikut laluan jalan pintas dari Alor Pongsu ke Bukit Merah dan masuk ke Jalan Changkat Lobak untuk ke Selama atau dari Selama ke Bagan Serai,” katanya.

Menurutnya, PPS Changkat Lobak kini menempatkan 41 mangsa banjir daripada sembilan buah keluarga dan mereka sudah lapan hari berada di PPS itu akibat banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN