PETALING JAYA: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta di tempat letak kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, Pegawai Perubatan HCTM Cheras menerima laporan pada 5.53 petang berkaitan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat letak kenderaan hospital itu.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama.
“Hasil siasatan awal mendapati, pada pukul 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang tempat duduk penumpang sebelah kiri di dalam keretanya untuk dihantar ke taska.
“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan bayi itu sudah dihantar ke taska,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Zam Halim, ibu mangsa hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/50 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
Difahamkan, ibu mangsa adalah seorang doktor yang bertugas di hospital berkenaan. – UTUSAN











