MELAKA: Seorang lelaki yang menghadiri temu duga terbuka Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini mencuri perhatian ramai apabila hadir bersama bayi perempuannya berusia empat bulan.
Amirul Hazim Abdul Rahman, 30, berkata, dia yang datang dari Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini tiba di MITC pada pukul 9.30 pagi untuk mencari pekerjaan baharu selepas kontrak bersama sebuah kilang di Batu Berendam tamat baru-baru ini.
Katanya, dia bersiap seawal pukul 7 pagi bagi menyediakan segala keperluan anaknya, Kalsum Amirul Hazim seperti susu dan lampin pakai buang.
“Isteri saya bekerja dan kami tidak mempunyai pengasuh. Jadi saya terpaksa bawa anak ke karnival kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Alhamdulillah, anak bagi kerjasama yang baik sejak tiba sehingga selesai temu duga yang kedua. Saya percaya pada rezeki anak dan berharap mendapat pekerjaan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tambah Amirul Hazim, ramai yang bertanya mengenai keadaan anaknya selepas dia dilihat menolak kereta sorong bayi masuk ke dalam dewan.
Menurutnya, perasaan ingin tahu itu disebabkan sebelum ini tiada pencari kerja yang pernah membawa anak ketika menghadiri temu duga kerja.
“Saya beritahu mereka anak okey sahaja. Seorang staf Perkeso yang ditemui juga bertanyakan soalan sama dan memahami kekangan yang saya hadapi setelah menjelaskan perkara sebenar.
“Pihak penemu duga juga tidak mempunyai halangan. Saya mengharapkan yang terbaik dan diberi peluang untuk kembali bekerja dalam sektor perkilangan,” ujarnya. – UTUSAN










