Ayam, telur masih dijual bawah harga kawalan

Ayam, telur masih dijual bawah harga kawalan

FAISAL Abdullah (kiri) dan Muhamad Faizal menunjukkan ayam dan telur yang dijual bawah harga agar tidak membebankan pengguna di kedai mereka di Bandar Pontian, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Penjual ayam dan telur memberi reaksi berbeza apabila ditanya kemungkinan kedua-dua bahan tersebut naik semula di pasaran berikutan cadangan pengapungan harga ayam dan telur.

Pengurus ADIB Fresh Mart, Faisal Abdullah berkata, pihaknya masih menjual ayam dengan harga RM8.90 sekilogram di bawah harga kawalan RM9.40 sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun katanya, kemungkinan harga ayam kembali melonjak melebih RM9.40 sekilogram sekiranya pengapungan harga seperti diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan baru-baru ini.

Menurut Faisal, ketika ini harga ayam dari ladang adalah RM6.80 sekilogram yang menyebabkan perunci atau peniaga hanya mendapat keuntungan sedikit bagi mengelakkan kerugian yang tinggi.

“Setakat ini kami masih mampu menjualnya di bawah harga siling yang ditetapkan bagi memastikan pengguna tidak rasa terbeban dengan sebarang kos kenaikan harga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan apungan harga ayam dan telur akan diumumkan pada 30 Oktober ini.

Katanya, ketika ini perincian mengenai pengapungan harga ayam dan telur sedang dibincangkan bersama pihak industri iaitu mereka yang mengeluarkan telur dan ayam.

Bagi seorang lagi penjual ayam, Tan Xan Jie, kedainya menjual ayam dengan harga RM8.60 sekilogram dengan harga belian diladang RM8.10 sen namun masih jauh untuk mendapat keuntungan.

Katanya, ketika ini, pihaknya hanya mampu menjual kurang daripada 300 ekor ayam terutama bagi memenuh permintaan dari peniaga restoran dan kedai makan pada setiap hari .

Seorang pekerja di kedai telur, Muhamad Faisal, 27, berkata, setakat ini harga telur dijual di premisnya masuk kekal tiada sebarang perubahan sebagaimana yang telah ditentukan oleh kerajaan.

Katanya, dia menjual harga telur gred AA16.50 sepapan, gred A (RM13.50), gred B (RM12.90), gred C (Rm12.30), gred D (RM12.20), gred E (RM11.40) dan gred F (RM9.60) sepapan.

“Kebanyakan bekalan telur diperoleh dari Yong Peng dan Air Hitam, Batu Pahat yang dihantar  setiap hari ke kedainya bagi memenuhi keperluan orang ramai dan peniaga,” ujarnya di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN