ATM distruktur semula menjadi angkatan masa hadapan - Utusan Malaysia

ATM distruktur semula menjadi angkatan masa hadapan

ANGGOTA Pasukan Khas Udara (Paskau) melakukan demonstrasi keupayaan tempur dalam operasi penyelamatan pada majlis sambutan Hari ATM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan distruktur semula menjadi sebuah angkatan masa hadapan dengan kredibiliti yang menepati kemajuan teknologi, cabaran masa depan dan menepati harapan serta jangkaan rakyat.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, penstukturan itu selaras dengan pelan strategi ketenteraan negara 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini.

“Keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut dan udara akan dipertingkatkan secara holistik dan berpegang kepada trilogi 3M iaitu manusia, mesin dan method (kaedah),” katanya berucap pada majlis sambutan Hari ATM Ke-90 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Menurut Mohammad, landskap keselamatan negara kini bergantung kepada persekitaran semasa termasuk ancaman tradisional serta kehadiran ancaman baharu seperti ancaman siber.

Jelasnya, komponen terpenting bagi tonggak strategi pertahanan atau cegah rintang berpadu kini giat dilaksanakan dalam membina angkatan masa hadapan sebagai perisai negara yang berpaksi kepada postur bersepadu, tangkas dan berfokus.

Beliau berkata, pelbagai pelaksanaan projek untuk ATM dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang bermula pada 2021 telah memperlihatkan pencapaian sangat memuaskan dan dilaksanakan mengikut perancangan semasa.

“Sebagai contoh, projek pembangunan 1,563 unit rumah keluarga tentera untuk semua peringkat telah pun dilaksanakan dengan jangkaan siap awal tahun depan.

“Perolehan aset baharu untuk ketiga-tiga perkhidmatan juga sedang giat dilakukan sekali gus memperkukuh tahap kesiagaan pasukan itu dalam pertahanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan Hari ATM tahun ini buat julung kalinya diadakan di pekarangan pejabat dan Jeti Operasi Markas Pemerintahan Armada Pangkalan TLDM Lumut.

Seramai 1,500 pegawai dan anggota ATM terlibat dalam perbarisan tempur statik dan demonstrasi keupayaan pasukan itu dalam operasi penyelamatan orang kenamaan yang diculik pasukan pengganas.

Perbarisan tempur statik diketuai Kapten TLDM Muhammad Haziq Abdullah itu turut menyaksikan lintas hormat oleh empat helikopter ATM membawa bendera ketiga-tiga perkhidmatan.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima ATM untuk ketiga-tiga perkhidmatan dengan setiap pemenang menerima piala pusingan serta wang tunai RM5,000.

Tahun ini, anugerah itu diberikan kepada Pasukan 21 Gerup Gerak Khas (GGK) bagi perkhidmatan darat, Angkatan Kapal Selam (laut) dan Pangkalan Udara Kuantan (udara).

Sementara itu, Mohammad turut melakukan perasmian ‘soft launch’ Karnival Hari ATM yang akan diadakan di sini pada 13 hingga 15 Oktober nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya