Asing kuasa AG, Pendakwa Raya antara tumpuan Dewan hari ini

Dewan Rakyat: Pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya antara tumpuan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini akan menumpukan kepada status pembangunan rangkaian 5G.

Menurut aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul Ghani [BN-Titiwangsa] akan bertanya soalan itu menerusi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan kepada Menteri Komunikasi dan Digital.

Beliau juga mahu mengetahui jumlah langganan yang telah diterima menerusi perkhidmatan rangkaian 5G setakat ini.

Sementara itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin [PN-Larut] meminta Perdana Menteri menyatakan inovasi baharu Ekonomi Madani yang berbeza dengan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, bagi menjayakan sasaran meletakkan Malaysia di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia.

Datuk Seri Doris Sophia anak Bordi [GPS-Sri Aman] turut meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan strategi dan usaha terkini untuk mengawal kenaikan harga barang secara mendadak.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] meminta Perdana Menteri menyatakan garis masa dan langkah kerajaan melaksana pemisahan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dan anggaran implikasi kewangan diperlukan bagi merealisasikannya.

Pada permulaan urusan mesyuarat mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan untuk bacaan kali pertama, terdapat enam RUU yang akan dibaca iaitu RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023, RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023, RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023, RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023, RUU Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 dan RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Bagi aturan urusan mesyuarat dan usul-usul, RUU LHDN (Pindaan) 2023 akan dibaca buat kali yang kedua dan diluluskan disusuli RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan mencadang penyata yang disiapkan oleh jawatankuasa itu berhubung RUU berkenaan.

RUU itu bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

Sebelum itu, beberapa penerangan akan dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkenaan isu bekalan beras putih tempatan.

Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim pula akan menerangkan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

Penerangan disusuli Kementerian Pertahanan berkenaan kumpulan Boustead yang merupakan salah satu anak syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu reformasi penjara dan pusat.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Pengerusi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini juga akan membentang laporan pertamanya berhubung kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

Dewan Rakyat bersidang selama 32 bermula hari ini sehingga 30 November depan.

Dewan Rakyat kali terakhir bersidang pada 19 September lalu menyaksikan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM415 bilion telah diluluskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya