PETALING JAYA: Pelakon meningkat naik, Andy Teh, 37, menolak menggunakan rupa parasnya yang tampan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tawaran berlakon.
Kata pelakon filem Pagari Bulan ini, sebaliknya, apa yang dikecapinya selepas tiga tahun dalam dunia seni adalah hasil kerja keras dan kegigihan untuk mengejar impian menjadi pelakon.
“Semua watak yang saya dapat adalah selepas hadir ke casting dan uji bakat. Memang ada jalan pintas, tapi saya maklum, akan jatuh dengan cepat kalau guna cara demikian.
“Saya percaya kebolehan saya dan hanya buat yang terbaik. Saya buat bersungguh-sungguh bagi setiap tawaran lakonan yang saya terima.
“Persaingan akan sentiasa ada, kita tak mampu lari darinya. Yang paling penting percaya rezeki kita yang sudah pun ditentukan,” katanya.
Andy mengakui cubaan masuk ke dalam sebuah industri yang didominasi sesatu kaum bukan perkara yang mudah.
Ditambah lagi dengan persaingan daripada pelakon bukan Melayu yang lain membuatkan dia bersungguh-sungguh dalam menjayakan setiap watak yang dilakonkannya.
“Tiga tahun lepas saya masuk industri filem dan drama, saya akui tidak mudah. Sebelum ini peluang sangat kurang. Tambah pula saya berbangsa Cina, memang mencabar.
“Tapi saya buktikan saya boleh berlakon dengan baik. Daripada pelat bertutur, kini lancar berbahasa Melayu. Bahkan diberi kepercayaan untuk bawa watak Melayu. Itu adalah pencapaian dan pendedahan yang baik untuk saya,” sambungnya.