PETALING JAYA: Inisden gajah liar yang menceroboh Kawasan penduduk dan merosakkan tanaman bukan sahaja mengancam nyawa mereka tetapi juga menyebabkan kerugian yang ditanggung akibat kerosakan.
Dua insidne terbaharu gajah liar meuncul di kawasan perumahan dan memusnahlkan tanaman menyebabkan penduduk masih trauma dengan kehadiran hidupan liar tersebut.
Dua insiden terbaharu iaitu di GUA MUSANG, Kelantan lebih 50 penduduk di Taman MGH i diselubungi kebimbangan selepas seekor gajah liar muncul di kawasan perumahan itu untuk mencari makan awal pagi semalam.
Kelibat gajah liar yang sedang membawa buah kelapa itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) rumah milik seorang penduduk di kawasan taman berkenaan.
Seorang penduduk, Muhamad Faez Azmi, 28, berkata, semasa kejadian dia yang sedang nyenyak tidur terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi berdengus.
Menurutnya, dia kemudian terus bangun untuk memeriksa keadaan dan terkejut mendapati gajah tersebut sedang berkeliaran di hadapan rumah.
“Saya melihat gajah itu berketinggian lebih 2 meter di hadapan rumah dengan membawa sebiji buah kelapa. Perasaan takut ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu.
“Bagaimanapun, saya sempat merakam video gajah terbabit sebelum menghantarnya ke kumpulan WhatsApp perumahan kerana bimbang takut ada penduduk yang ingin ke masjid terserempak dengan liar berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Ruzaini Bakar, 51, memberitahu kemunculan gajah liar terbabit adalah pertama kali berlaku di perumahan itu sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, kemunculan gajah liar itu mengejutkan penduduk kerana kawasan perumahan ini terletak di kawasan bandar Gua Musang.
“Kami sudah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan anggotanya sudah datang pagi ini (semalam) dan meninjau sekitar kawasan perumahan ini.
“Kami bimbang jika gajah liar ini muncul kembali dan berharap tindakan segera dapat diambil termasuk pemantauan daripada pihak berwajib supaya penduduk rasa lebih selamat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan menerima aduan daripada penduduk di perumahan terbabit.
Katanya, sejurus menerima aduan anggotanya telah bergerak ke tempat kejadian untuk meninjau keadaan.
Sementara itu di HULU TERENGGANU, seorang pekebun pisang di Kampung Padang Setar, dekat sini hanya sempat raih keuntungan kira-kira RM300 sebelum tanamannya musnah angkara gajah liar.
Mohd. Fauzi Sulaiman, 50, berkata,q kebun pisang seluas kira-kira 0.8 hektar menjadi sasaran mamalia berkenaan sejak lebih seminggu lalu berikutan sudah mengeluarkan hasil dan sudah boleh dijual.
Menurutnya, segala yang dihadapi diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana sebelum ini kebunnya yang dikelilingi pagar elektrik menjadi sasaran pencuri.
“Saya telah keluarkan modal sekitar RM7,000 untuk usahakan kebun pisang ini. Baharu sempat raih untung RM300, kini telah dirosakkan sekumpulan gajah liar dan tiada lagi yang boleh dijual.
“Sekumpulan gajah liar terbabit berkampung di hutan berhampiran dan disedari kehadirannya lebih seminggu lalu apabila hasil tanaman penduduk menjadi sasaran.
“Kini saya juga dihantui rasa bimbang jika gajah-gajah liar akan turut rosakkan 100 batang pokok kelapa diusahakan lima tahun lalu dan kini sudah keluarkan hasil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Fauzi, bukan sekadar menanggung kerugian tetapi dia dan penduduk lain yang terlibat juga risaukan keselamatan mereka terutamanya ketika berada di kebun.
Katanya lagi, dia berharap pihak berkaitan dapat ambil langkah sewajarnya dalam usaha atasi masalah ancaman gajah liar itu kerana jika terus berlanjutan petani akan hilang sumber pendapatan kerana tidak dapat lagi bercucuk tanam.
Seorang lagi penduduk, Muhamad Husaini Mohd. Hassan, 27, kehadiran sekumpulan gajah liar dipercayai sekitar lima ekor ke kawasan kebun merisaukan penduduk kerana bukan sekadar tanggung kerugian tetapi nyawa juga boleh terancam. -UTUSAN