ANALISIS: Mampukah Haslihelmy jadi calon Bebas ketiga menang PRK?

ANALISIS: Mampukah Haslihelmy jadi calon Bebas ketiga menang PRK?

PILIHAN Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai menyaksikan saingan tiga penjuru antara Amizar Abu Adam (kiri), Kasim Samat (tengah) dan Haslihelmy DM Zulhasli (kanan). - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM sejarah Pilihan Raya Kecil (PRK) negara ini, ada dua calon Bebas yang pernah menang iaitu Tan Sri Shahrir Samad di Parlimen Johor Bahru pada 1988 dan Datuk Yahya Lampong di Parlimen Kota Belud pada 1982.

Jadi, adalah tidak mustahil untuk calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli untuk menang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.

Walaupun peratusan untuk calon Bebas menang dalam satu-satu pilihan raya adalah kecil, jika ketokohannya dikenali rakyat, ia boleh menjadi faktor kemenangan Haslihelmy di Pelangai.

Kelebihan itu berdasarkan cita rasa pengundi masa kini yang tidak memilih calon berdasarkan gabungan atau parti, tetapi, melihat kepada kemampuan calon itu sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat.

Kebiasaannya calon Bebas akan mendapat undi daripada kelompok keluarga, saudara serta kenalan rapatnya, namun, pada PRK Pelangai kali ini, tidak mustahil untuk Haslihelmy meraih undi protes.

Undi protes adalah keadaan yang mana pengundi mahu menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap calon yang bertanding. Ia juga boleh berlaku apabila pengundi menolak sistem politik semasa atau untuk menunjukkan kemarahan terhadap dasar parti politik tertentu.

Walaupun sejarah membuktikan ada calon Bebas menang PRK, ia bukan tugas mudah buat Haslihelmy di Pelangai kerana perlu bersaing dengan calon parti politik besar seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, dalam politik segala-galanya tidak mustahil kerana sukar meramalkan sokongan pengundi ketika ini termasuk dalam kawasan DUN Pelangai selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.

Jika tsunami rakyat boleh berlaku apabila pengundi memilih PN selepas PRU15 lalu, tidak mustahil tsunami sokongan ke arah calon Bebas boleh terjadi di DUN Pelangai.

Kehadiran calon Bebas sedikit sebanyak dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pengundi serta pada masa yang sama boleh memastikan mana-mana parti politik dominan yang memenangi proses pilihan raya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Selain pembangkang, calon Bebas juga boleh melakukan tugas semak dan imbang sekali gus mengurangkan tahap keyakinan serta sikap ego yang terlalu tinggi terhadap kerajaan yang sudah pun dibentuk antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Ini penting bagi memastikan perjalanan pentadbiran negara dapat dilakukan dengan baik, demi faedah rakyat secara keseluruhannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN