PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki berharap kerajaan dapat membangunkan infrastruktur perfileman agar lebih banyak filem berkualiti tempatan dapat dihasilkan.
Katanya, aspek tersebut perlu ditambah baik supaya industri perfileman negara berdiri setanding antarabangsa.
“Saya ambil contoh Korea Selatan yang menyediakan set perfileman yang mencukupi untuk penggiatnya.
“Kita pun perlu ada kemudahan sedemikian yang boleh dimanfaatkan pembikin filem tempatan dan antarabangsa.
“Kemudahan dan infrastruktur yang baik pasti dapat memajukan dan menaiktaraf industri perfileman kita,” katanya yang diminta mengulas tentang pembentangan belanjawan 2024.
Selain itu, Afdlin juga meminta kerajaan agar mewujudkan sistem pengagihan dana filem yang lebih selamat agar peruntukan tersebut diterima calon yang benar-benar layak dan tidak dimanipulasi untuk kepentingan pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebelum ini kerajaan keluarkan banyak peruntukan termasuk Dana Kandungan Digital yang sebenarnya sangat-sangat membantu pembikin untuk membuat filem.
“Cuma masih wujud ketirisan dalam pengagihannya, yang mana memberi impak negatif bagi pertunbuhan industri filem tempatan.
“Jadi saya harapkan kerajaan dapat meneliti perkara ini dan membuat sistem yang lebih efisien untuk kebaikan industri seni tempatan,” kongsinya.