‘Ada pihak cuba cemar nama baik saya dengan kaitan MYAirlines’

‘Ada pihak cuba cemar nama baik saya dengan kaitan MYAirlines’

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan mempunyai kaitan dengan MYAirlines atau mana-mana pemegang saham syarikat penerbangan tersebut.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pencarian dilakukan beliau sendiri menunjukkan bahawa syarikat itu mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021, iaitu semasa tidak lagi menjadi Perdana Menteri kelapan.

Katanya, penglibatan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirlines tidak boleh dikaitkan dengan dirinya. 

“RDS sebagai sebuah firma guaman berhak mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya.

“Saya percaya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama baik saya dengan membuat tuduhan jahat kononnya saya terbabit dengan syarikat ini. Hentikanlah politik murahan yang kotor ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk tindakan beberapa pihak yang cuba mengaitkannya dengan kemelut yang melibatkan syarikat penerbangan MYAirlines.

MYAirline baru-baru ini mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa minggu lalu sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

MYAirline diasaskan secara rasmi pada 11 Januari 2021 dengan sokongan kewangan daripada Zillion Wealth Bhd (88 peratus), Trillion Cove Holdings Bhd (10 peratus) dan Pengasas Bersama dan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rayner Teo (dua peratus).

Lembaga Pengarah MYAirline terdiri daripada Pengasas Bersama yang juga pemegang saham terbesar, Datuk Allan Goh Hwan Hua; Sean Goh Tze Han; bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman; bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abd Hamid Mohd Ali; Teo dan Pengarah Trillion Cove, Jothi Prakash Muruga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN