KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan kutipan derma dalam talian yang menggunakan nama persatuan kebajikan dengan penahanan seramai 55 individu di sebuah premis di Kepong, di sini semalam.
Kesemua tangkapan terdiri daripada 34 lelaki dan 21 wanita berusia antara 18 hingga 42 tahun dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sindiket tersebut telah bergiat aktif sejak lima tahun lalu dengan mengutip derma menggunakan nama tiga persatuan kebajikan.
Katanya, sindiket berperanan sebagai pemanggil yang menghubungi mangsa terdiri daripada individu atau syarikat.
“Sindiket turut mengiklankan derma kebajikan melalui laman sosial Facebook untuk meraih simpati penderma.
“Kutipan derma akan dimasukkan ke beberapa akaun persatuan kebajikan yang diarahkan sindiket. Siasatan mendapati tujuh akaun bank digunakan untuk kegiatan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.
Menurut Allaudeen, ahli sindiket akan menerima 10 hingga 20 peratus komisen daripada kutipan derma jika ahli mencapai sasaran ditetapkan.
Jelas beliau, siasatan juga melibatkan persatuan kebajikan yang digunakan sindiket.
“Kita juga sedang siasat sama ada persatuan itu mengetahui kegiatan sindiket itu atau sebaliknya.
“Ia termasuk latar belakang persatuan serta sumber kewangan mereka sama ada sah atau tidak,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek direman sehingga 8 Oktober ini.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN