4PM terima 15 aduan belia muflis setiap hari

15 aduan belia muflis setiap hari

bunuh diri
ROSLAND MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah individu muflis menunjukkan peningkata terutama dalam kalangan belia dengan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) menerima menerima 15 aduan belia muflis setiap hari.

Ini dilihat sebagai sesuatu yang kritikal dan memerlukan tindakan daripada pihak kerajaan bagi menangani isu tersebut.

Statistik daripada tahun 2019 hingga Ogos turut menunjukkan individu dari lingkungan umur 35 tahun hingga 44 tahun adalah paling ramai bankrap iaitu seramai 13,757 orang dan diikuti dengan mereka berumur 55 tahun dan ke atas (5,549 orang).

Daripada 35,714 kes kebankrapan untuk tahun 2019 hingga Ogos tahun ini, kes pinjaman peribadi mencapai hampir separuh daripada kesuluruhan kes iaitu sebanyak 49.14 peratus (17,550 kes) berbanding jenis pinjaman kewangan lain, merangkumi pinjaman bercagar atau tidak bercagar daripada institusi perbankan.

Pinjaman perniagaan pula merekodkan kes kebankrapan kedua tertinggi dengan 17.30 peratus (6,179 kes), diikuti sewa beli kenderaan (3,898), pinjaman perumahan (2,978) serta hutang kad kredit sebanyak 2,198 kes.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden 4PM, Rosland Mohd. Arif berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan peminjam terutama belia tidak menghadapi masalah muflis yang akhirnya akan menjejaskan masa depan mereka.

“Kerajaan harus memberi atau memudahkan laluan kepada peminjam khususnya golongan belia ini iaitu dengan mengarahkan pihak bank untuk tidak terlalu tegas terhadap kumpulan tersebut.

“4PM iaitu satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menangani masalah perbankan, kredit dan sivil sanggup menjadi orang tengah antara masyarakat dan pihak bank. Jadi kerajaan perlu arahkan pihak bank beri kerjasama,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan muflis merupakan masalah paling serius yang membelenggu golongan belia pada masa kini, berbeza dengan kepercayaan umum bahawa penyalahgunaan dadah adalah isu utama.

Untuk rekod, Statistik Jabatan Insolvensi sebelum ini merekodkan sebanyak 5,695 kes muflis sepanjang tahun lalu termasuk 419 individu berusia 25 hingga 34 tahun yang majoritinya berkerjaya.

Mengulas lanjut, Rosland berkata, sekiranya kerajaan tidak berbuat demikian maka dibimbangi akan menyebabkan lebih ramai golongan belia diisytiharkan muflis.

Katanya, kebanyakan golongan belia yang muflis bukan disebabkan ‘gaya hidup’ yang mewah tetapi berpunca daripada kenaikan jumlah komitmen perlu dibayar mengatasi jumlah mampu bayar.

“Saya temubual setiap daripada belia yang muflis, antara faktor mereka tidak mampu bayar komitmen Itu adalah disebabkan kenaikan bayaran pinjaman iaitu misalnya pinjaman rumah dahulu hanya bayar RM800 tetapi kini naik sehingga RM1,200, gaji pula kekal sama.

“Ini belum dicampur dengan komitmen-komitmen bulanan yang lain seperti kereta, makan minum dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN