YAN: Sebanyak 32 buah rumah di Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras, di sini dilanda banjir kilat tengah malam tadi akibat limpahan Sungai Gurun selepas hujan lebat lebih dua jam.
Rumah penduduk dimasuki air sedalam antara 0.3 meter hingga satu meter kira-kira pukul 10.30 malam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan ke kawasan terjejas sejurus mendapat maklumat.
“Kejadian banjir kilat kali ini melebihi paras biasa. Bagaimanapun tindakan pantas pihak kita dan agensi lain, keadaan dapat dikawal dan 160 penduduk dua kampung itu berjaya dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zul Izzi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dalam kejadian tersebut setakat ini.
“Sehingga pukul 8.50 pagi tadi, paras banjir semakin surut, namun penduduk diminta berhati-hati berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan masih hujan,” katanya. –UTUSAN