KLANG: Seramai 319 anggota dan pegawai polis Selangor dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun ini yang mana sebahagian besar atau 217 orang membabitkan kesalahan integriti.
Bagaimanapun, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 462 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tersebut pada tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 462 anggota polis yang dikenakan tindakan, iaitu 17 anggota pegawai kanan polis dan 445 anggota pangkat rendah.
“Bagi tahun ini, seramai 19 anggota pegawai kanan polis dan 300 anggota pangkat rendah yang telah dikenakan tindakan kerana membuat kesalahan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Latih Amal Ops Ex-Ganjar 2023 di Pelabuhan Klang, hari ini.
Beliau menambah, selain integriti, 47 lagi pegawai dan anggota berdepan tindakan terhadap kesalahan jenayah.
“Seramai 15,000 anggota polis yang bertugas di Selangor. Jadi, mereka yang melakukan kesalahan ini hanyalah angka yang kecil.
“Kita tidak akan berkompromi kepada mana-mana anggota yang melakukan apa-apa kesalahan. Ini kerana, polis harus menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” tegasnya.
Sebelum ini, seramai 804 pegawai dan anggota polis diseluruh negara dilaporkan dikenakan hukuman tatatertib sejak Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 69 pegawai dan anggota polis telah dikenakan tindakan buang kerja. – UTUSAN










