3 Ketua Bahagian UMNO dilantik Ahli Majlis Pulau Pinang selepas 15 tahun - Utusan Malaysia

3 Ketua Bahagian UMNO dilantik Ahli Majlis Pulau Pinang selepas 15 tahun

H"NG Mooi Lye (kiri) bersama Ketua Bahagian UMNO yang dilantik sebagai Ahli Majlis PBT dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai tiga Ketua Bahagian UMNO dilantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di dua buah PBT negeri itu iaitu selepas kira-kira 15 tahun tiada wakil parti berkenaan dilantik ke jawatan tersebut.

Mereka masing-masing Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Omar Hamid yang dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman pula dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pengumuman lantikan mereka yang berkuat kuasa serta-merta sekali gus melengkapkan kuota seramai 24 Ahli Majlis bagi kedua-dua PBT itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Menurut Mooi Lye, majlis angkat sumpah dan menandatangani pengakuan menerima jawatan sebagai Ahli Majlis MBPP akan diadakan lusa di Dewan Bandaraya di sini.

Sementara itu, katanya, majlis angkat sumpah dan menandatangani pengakuan menerima jawatan sebagai Ahli Majlis MBSP pula dijangka diadakan pada minggu ketiga bulan ini memandangkan Datuk Bandar MBSP berada di luar negara atas urusan rasmi.

“Menjadi harapan saya agar Ahli-Ahli Majlis baharu yang dilantik daripada parti UMNO ini dapat berganding bahu, mengambil peluang dan bersama-sama menyumbang idea baharu, pengalaman dan tenaga dalam memastikan pentadbiran PBT di Pulau Pinang terus cemerlang,” katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga Ketua UMNO Bahagian berkenaan berterima kasih atas kepercayaan parti dan kerajaan negeri melantik mereka ke jawatan tersebut dan berjanji menggunakan pengalaman masing-masing untuk memperkasakan PBT berkenaan.

Bagi Abdul Razak, 54, yang juga Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau akan menggunakan pengalamannya dalam politik termasuk selama 14 tahun sebagai Ketua UMNO Bahagian Jelutong untuk membantu mempermudahkan hubungan antara rakyat dengan MBPP.

“Saya juga sebelum ini pernah menjadi Ahli Majlis MPPP (sebelum dinaik taraf sebagai Bandaraya) selama empat tahun dan pengalaman itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada saya untuk menunaikan tanggungjawab ini,” katanya.

Ditanya berkenaan isu yang akan diberi perhatian sepanjang menjawat jawatan itu, Abdul Razak berkata, isu-isu ke arah meningkatkan taraf hidup dan kebajikan rakyat akan menjadi tumpuan mereka kelak.

“Antaranya isu seperti banjir, kesesakan jalan raya, lesen-lesen penjaja dan banyak lagi bergantung kepada portfolio yang akan ditentukan kepada kami nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya