2 lagi kes baharu cacar monyet

2 lagi kes baharu cacar monyet

GAMBAR diedarkan Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom menunjukkan jangkitan cacar monyet pada tangan dan bahagian-bahagian tubuh badan lain. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua lagi kes baharu jangkitan mpox (cacar monyet) menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini sebanyak empat kes direkodkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, kedua-dua kes baharu ini tiada hubung kait dengan kes pertama dan kedua yang direkodkan sebelum ini pada Julai lalu.

Katanya, kes ketiga positif disahkan pada 21 Oktober lalu melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 6 Oktober sebelumnya.

“Kes keempat adalah seorang lelaki warga tempatan merupakan kontak rapat kepada kes ketiga dan disahkan positif pada 23 Oktober lalu.

“Beliau turut menunjukkan gejala sama pada 6 Oktober dan kedua-dua kes sedang menjalani isolasi di rumah serta berada dalam kesihatan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, kedua-dua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

Katanya, semua kontak bagi kes ketiga dan keempat dikenal pasti dan tiada mengalami gejala jangkitan mpox selain status kesihatan mereka juga sedang dipantau.

“Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox dan jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan itu.

“Gejala mpox adalah demam beserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea,” katanya.

Muhammad Radzi berkata, tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

Jelasnya, individu positif jangkitan boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya.

“Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus. Semua pengamal perubatan diminta peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

“Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus itu.

Ujarnya, kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya