PETALING JAYA: Seramai 19 kakitangan akademik terima kenaikan pangkat dan gred di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, majlis ini bagi memberi pengiktirafan kepada kakitangan yang telah mendapat pengesahan kenaikan pangkat dan gred.

Katanya, kenaikan pangkat 16 kakitangan akademik melibatkan jawatan profesor madya, pensyarah perubatan (tanpa gelaran profesor madya) dan Pensyarah Kanan manakala tiga kenaikan gred bagi kakitangan kontrak melibatkan jawatan profesor madya perubatan (pakar) dan pensyarah perubatan (tanpa gelaran profesor madya).
“Proses kenaikan pangkat ini melalui sistem dalam talian yang dibuka sepanjang tahun dan memerlukan proses pengakuan oleh Ketua Jabatan dan penilaian di peringkat Jawatankuasa Tapisan dan Kesarjanaan Kenaikan Pangkat Kakitangan Akademik.
“Seramai 16 kakitangan akademik layak menghadiri sesi temu duga kenaikan pangkat, manakala tiga kakitangan akademik layak menghadiri sesi temu duga kenaikan gred bagi kakitangan kontrak,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Kasim berkata, tanggungjawab dan amanah jawatankuasa amatlah besar dalam memastikan pemilihan kakitangan bagi tujuan kenaikan pangkat dan kenaikan gred dibuat secara telus dan teratur.
“Penghargaan dan terima kasih perlu diberi kepada Ketua Jabatan dan rakan-rakan setugas, kerana kita di UMS ini sentiasa bekerja secara berpasukan.
“Tiada kakitangan yang boleh mendabik dada menyatakan dia cemerlang atas usahanya sendiri sahaja dan saya mengharapkan pengiktirafan yang diterima ini dapat menyuntik semangat tuan-tuan dan puan-puan untuk terus berkhidmat dengan lebih dedikasi dan penuh iltizam,” katanya.- UTUSAN
habis










