17 bot pam dirampas, lima individu ditahan dalam Op Gasak Laut

17 bot pam dirampas, lima individu ditahan dalam Op Gasak Laut

OP Gasak Laut yang dijalankan di perairan Semporna, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 17 buah bot pam dirampas manakala, lima individu ditahan dalam Operasi Gasak Laut bot pam dan Operasi Bersepadu di Semporna dan Kunak semalam.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata, dalam operasi tersebut seramai 18 bot pam dan 132 orang diperiksa dalam operasi yang dijalankan di perairan dan pesisir pantai kedua-dua daerah tersebut.

VICTOR SANJOS
INDIVIDU yang diperiksa semasa Op Gasak Laut, Op Bersepadu di Semporna semalam

Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi membanteras penyalahgunaan bot pam, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

“Hasil pemeriksaan terhadap 17 individu di Semporna, tiga warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

“Sementata itu, seorang pemilik bot pam telah dikompaun dan 17 buah bot pam yang dimilikinya dirampas serta diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Semporna untuk tindakan pelupusan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, dalam operasi yang dilaksanakan di Kunak pula, daripada 115 individu yang diperiksa, seramai dua individu ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.20 gram.

Untuk itu, kedua-dua individu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Victor berkata, operasi di kedua-dua daerah tersebut melibatkan seramai 210 orang pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin dan Batalion 17 dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen , Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, dan Angkatan Pertahanan Awam.

Mengulas lanjut katanya, beliau memandang serius kesalahan-kesalahan yang dikenal pasti dan beliau percaya pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan bot pam tidak berlesen dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan.

Ia termasuk aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI serta membasmi kawasan staging point elemen jenayah rentas sempadan.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua pemilik bot pam di perairan ESSZone supaya mendapatkan lesen secara sah untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan

“Saya amat berharap melalui operasi-operasi seumpama ini, kawalan di kawasan maritim dan daratan ESSZone dapat diteruskan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN