1,574 banduan berkaitan dadah alami masalah mental

1,574 banduan berkaitan dadah alami masalah mental

IBRISAM Abdul Rahman (tengah) bersama sebahagian peserta selepas menyempurnakan perasmian Majlis Konvokesyen Psikologi Jabatan Penjara Malaysia 2023 di Kajang, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seramai 1,574 banduan berkaitan kes dadah di negara ini dikesan menghidap masalah mental dalam tempoh awal tahun hingga kini.

Keadaan yang dialami oleh mereka ini disebabkan pengambilan dadah jenis stimulam atau peransang secara berpanjangan.

Timbalan Komisioner Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, daripada 75,783 banduan yang ada, sebanyak 53,131 atau 70.11 peratus merupakan mereka yang disabitkan kesalahan dadah yang telah didaftarkan bagi menjalani hukuman atau pemulihan koreksional.

Kata beliau, berdasarkan rekod sebelum ini, 40 peratus daripada 36,000 banduan berkaitan kes dadah di negara ini pada 2018 dikesan menghidap masalah mental.

“Justeru itu, penyalahgunaan dadah ini merupakan satu isu perlu diberi perhatian secara signifikan kerana dikaitkan dengan pelbagai masalah tingkah laku dan mental.

“Kesan daripada ini menyebabkan mereka berhalusinasi selain mendengar bisikan suara sehingga boleh bertindak agresif semasa berada dalam penjara,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Psikologi Jabatan Penjara Malaysia 2023.

Konvensyen ini bertema Krisis Jenayah Penyalahgunaan Bahan dari Perspektif Psikologi Koreksional.

Mengulas lanjut, kata beliau, program rawatan dan pemulihan banduan telah dilaksanakan secara menyeluruh di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan Akta 283, 1983).

Kata beliau, penagih dadah ini telah diisytiharkan sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan sewajarnya.

“Justeru itu, Jabatan Penjara telah menempatkan sekurang-kurangnya seorang Pegawai Psikologi di setiap institusi penjara bag membantu dalam aspek pengurusan kesihatan mental banduan dan penghuni.

“Selain itu, ujian psikologi dan penilaian Know Yourself Know Others (KYKO) turut dilaksanakan terhadap semua penghuni semasa kemasukan dan dalam tempoh masa tertentu, mengikut keperluan,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi banduan kes dadah, selain ujian DASS-21, ujian-ujian psikologi utama termasuk DAST-20 dijalankan untuk melihat tahap kebergantungan pada dadah dan Ujian URICA turut dilaksanakan untuk menilai tahap kesediaan mereka untuk berubah.

“Hasil penilaian ini akan seterusnya membantu dari segi pengesyoran bentuk intervensi dan program pemulihan yang bersesuaian untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan mental telah dilaksanakan dalam beberapa bentuk intervensi termasuklah menjalankan sesi kaunseling kepada banduan oleh pegawai psikologi dan penjara yang berkelayakan dalam bidang itu atau kaunseling.

Jelasnya, matlamat kaunseling untuk penagih dadah berbeza dengan kaunseling untuk mereka yang bukan bermasalah dadah.

“Ini kerana antara matlamat utama kaunseling terhadap penagih dadah ialah untuk melepaskan mereka dari pergantungan jiwa kepada dada di samping pergantungan fizikal.

“Tugas ini sememangnya sukar dan memakan masa. Oleh itu usaha dan komitmen dari semua pihak amat diperlukan,” jelasnya.

Kata beliau, proses kaunseling untuk golongan ini mengambil masa agak panjang dan tidak hanya setakat di institusi penjara sahaja malahan diteruskan sehingga seseorang banduan itu kembali ke pangkuan masyarakat.

“Jika seseorang banduan dikesan menghadapi masalah mental yang memerlukan rawatan lanjut, maka mereka akan segera dirujuk untuk mendapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital.

“Pada masa yang sama, Jabatan Penjara juga tiada halangan dan boleh bekerjasama dengan pihak luar seperti badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menawarkan khidmat kaunseling kepada penghuni penjara.

“Saya amat menggalakkan agar program-program pengurusan kesihatan mental dan kesedaran psikologi terutama kepada banduan yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan dapat dijalankan dari masa ke semasa agar dapat memberi impak yang besar dan menyeluruh kepada para banduan,” katanya.

Kajian Institut Keselamatan Awam (IPSOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Universiti Teknologi Malaysia mendapati dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara akan merekodkan seramai 2.5 juta penagih dengan purata penggunaan 319,400 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM16 bilion.

Gejala penyalahgunaan dadah yang semakin serius itu dilakukan secara berkumpulan dengan nisbah penagih dalam komuniti kini adalah 1:7 orang, memberi makna jumlah sebenar penagih sudah lebih tiga juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN