PONTIAN: Kira-kira 1,200 pemancing menyerbu Pantai Rekreasi Rambah untuk berentap merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM157,000 sempena Festival D’ Kukup, di sini.
Pertandingan tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan.
Beliau berkata, Pantai Rambah amat sesuai bagi penganjuran pertandingan memancing pada masa depan sejajar dengan keluasan pesisir pantainya kira-kira dua kilometer dan mampu menempatkan kira-kira 1,500 pemancing.
Sambutan yang diberikan oleh pemancing dari seluruh negara memberi petanda bahawa Pontian juga mempunyai lubuk yang menarik kepada kaki pancing.
“Kita bercadang untuk mengadakan pada tahun hadapan sebagai cara menarik pelancong domestik, sekali gus memberikan nilai tambah kepada aktiviti ekonomi penduduk setempat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berharap usaha itu dapat membantu mempopularkan Taman Rekreasi Pantai Rambah sebagai salah satu destinasi pelancongan di daerah Pontian selain Tanjung Piai.
“Diharapkan juga Tourism Johor dapat memasukkan pertandingan memancing ini dalam kalendar pelancongan negeri pada masa akan datang bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor ini,” katanya sambil memaklumkan pertandingan turut mendapat kerjasama G13 Group Sdn. Bhd., yang turut terlibat dalam perniagaan emas.
Sementara itu, beberapa pemancing yang ditemui menyifatkan Pantai Rambah tidak kurang menariknya sebagai lokasi pertandingan memancing seperti lokasi lain di Johor yang penuh cabaran.
Mohd. Razif Papon, 36, dari Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, berkata, dengan kawasan yang panjang memberikan pilihan kepada pemancing mencari tempat yang strategik bagi menawan ‘mangsanya’.
Ezuan Mohd. Nor, 35, yang pertama kali datang ke Pontian bagi menyertai pertandingan memancing di sini terkejut dengan kehadiran ramai pemancing dari seluruh negara memandangkan hadiah yang disediakan menarik termasuk cabutan bertuah jongkong emas berjumlah RM30,000.
Raziman Radzi, 36, dari Geng Surf Tanjung Gila, Pelabuhan Klang sanggup datang ke Pontian bersama-sama dua rakannya bagi mencuba nasib kali pertama di Pantai Rambah ini dan mereka pukul 3 pagi.
“Sebelum ini pernah memenangi hadiah sagu hati tetapi mana tahu tuah di Pontian, kami akan naik ‘podium’ selain membawa pulang jongkong emas,” katanya.
Sementara itu, pertandingan Mobile Legend yang diadakan turut menarik penyertaan 16 kumpulan bagi memberikan peluang kepada golongan muda mempamerkan bakat mereka. –UTUSAN