107 pelajar Terengganu terima anugerah tajaan pendidikan Petronas - Utusan Malaysia

107 pelajar Terengganu terima anugerah tajaan pendidikan Petronas

NOR Kamilah Aina Mohamad Kamal (dua dari kanan) bersama sebahagian pelajar cemerlang SPM 2022 yang menerima tajaan pendidikan Petronas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 107 pelajar anak Terengganu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menerima anugerah penajaan pendidikan oleh Petronas untuk melanjutkan pengajian mereka pada tahun ini.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly berkata, mereka adalah sebahagian daripada 600 pelajar cemerlang SPM 2022 di seluruh negara yang menerima penajaan bernilai RM340 juta.  

Menurutnya, program pemperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan Petronas itu adalah  komitmen berterusan syarikat tersebut di dalam aspek pembangunan modal insan negara.

“Petronas yakin bahawa pelaburan di dalam bidang pendidikan melalui akses kepada pendidikan berkualiti, bukan sahaja mampu membantu menghasilkan tenaga kerja profesional, bahkan juga menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.

“Setiap pelajar tersebut akan menerima tajaan pengajian asasi sehingga ijazah pertama di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China, Jepun dan Korea Selatan,” katanya di sini, hari ini.

Pelajar yang terpilih bakal mengikuti kursus di dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geofizik, perakaunan, pemasaran dan undang-undang. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, Petronas juga telah memperluaskan penajaannya merangkumi bidang sains data dan kejuruteraan data. 

Sementara itu, seorang pelajar, Nor Kamilah Aina Mohamad Kamal, 18, berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima tajaan pendidikan Petronas dan akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di luar negara.

“Ibu bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala ayah pula bekerja sebagai pembantu operasi di sekolah dengan pendapatan kedua mereka sekitar RM2,500 sahaja sebulan.

“Alhamdulillah, Petronas telah menyediakan kemudahan penginapan yang sempurna untuk saya mengikuti pengajian asasi Cambridge A-Level di Taylor’s University ketika ini serta duit poket yang cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan.

“Saya akan memanfaatkan tajaan ini sebaik mungkin untuk mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik dengan peluang yang Petronas berikan ini,” katanya.

Program tajaan pendidikan tersebut yang mula dilaksanakan  pada tahun 1975 telah memberi manfaat kepada lebih daripada 38,000 orang pelajar Malaysia dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.5 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya