100 peniaga terima pelan perlindungan kemalangan diri

100 peniaga terima pelan perlindungan kemalangan diri

MOHD. Kamal Ismail, 55, menunjukan kad perlindungan insuran Agro Bank tajaan Yayasan Perbandaran Kluang yang diterimanya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seramai 100 peniaga pasar malam di daerah Kluang menerima pelan perlindungan kemalangan diri daripada Agro Bank, dengan tajaan Yayasan Perbandaran Kluang (YPK) hari ini. 

Melalui skim Takaful Kasih Plus itu, setiap peniaga diinsurankan pekerjaan mereka dengan nilai caruman RM10 seorang dan akan menerima wang bayaran pampasan berjumlah sehingga RM10,000 mengikut terma dan syarat ditetapkan. 

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Peniaga Pasar Malam Daerah Kluang, Md. Salahudin Abd. Karim berkata, secara keseluruhannya, kira-kira 200 orang peniaga yang terlibat dalam perniagaan pasar malam di daerah Kluang ini. 

Katanya, sebagai langkah awal, pihaknya mengusahakan 100 penama terlebih dahulu manakala selebihnya akan dilakukan dalam terdekat mengikut kaedah yang sama. 

“Tempoh pelan perlindungan ini adalah setahun dan peniaga yang menerimanya boleh menyambung sendiri caruman apabila tamat tarikhnya nanti dengan nilai bayaran hanya RM10. 

“Sebagai wakil kepada semua peniaga, saya amat berbesar hati dengan pelan ini kerana boleh menjadi salah satu inisiatif perlindungan untuk mereka sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Salahudin turut berharap akan ada pihak melaksanakan langkah diambil YPK ini bagi memastikan semua peniaga pasar malam mempunyai pelan perlindungan pada masa akan datang. 

Sementara itu, Mohd Kamal Ismail, 55, yang sudah lebih 10 tahun berniaga di pasar malam sekitar bandar Kluang melahirkan rasa syukur dengan pelan perlindungan kemalangan diri yang disediakan kepada pihaknya. 

Ujarnya, pelan seperti ini adalah yang pertama disediakan untuk peniaga pasar malam seperti mereka dan semua ahli pertubuhan bertekad akan menyambung sendiri caruman apabila tamat tempoh nanti. 

“Secara amnya, golongan peniaga tidak mengetahui tentang wujudnya pelan perlindungan kemalangan diri seperti ini dan alhamdulilah, kami sudah memilikinya,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya