10 tahun beras tempatan tidak cukup

10 tahun beras tempatan tidak cukup tampung permintaan

Pengeluaran beras tempatan yang tidak mencukupi menyebabkan negara terpaksa mengimport beras dari negara lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran beras putih tempatan hanya mampu mencatatkan sekitar 1.6 juta tan metrik setahun, jumlah yang tidak meningkat dengan ketara dalam tempoh 10 tahun.

Jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan keseluruhan penduduk yang memerlukan sekurang-kurangnya 2.4 juta tan metrik beras setahun, menyebabkan selebihnya ditampung dengan pengimportan beras yang kini mencecah nilai sekitar RM2.5 bilion setiap tahun.

Menurut statistik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Malaysia mencatatkan pengeluaran tertinggi pada 2014 dengan 1.835 juta tan metrik setahun manakala pengeluaran terendah pada 2019 dengan 1.516.3 juta dan pengeluaran kedua terendah pada 2022 dengan 1.574 juta tan metrik.

Tiga negeri mencatatkan pengeluaran tertinggi bagi 2020 dan 2022 adalah Kedah, Kelantan dan Perak manakala tiga negeri dengan pengeluaran tertinggi pada 2021 adalah Kedah, Kelantan dan Perlis.

Hasil daripada pengeluaran beras tempatan itu, Kadar Sara Diri (SSR) hanya berada pada sekitar 62.9 peratus pada 2020, 65.2 (2021) dan 62.6 peratus pada 2022 walaupun kerajaan menyasarkan SSR beras sebanyak 75 peratus pada 2025 dan 80 peratus pada 2030 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2023.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelidik Laboratori Agronomi dan Perlindungan Tanaman Lestari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Juraimi menjelaskan, punca pengeluaran beras tempatan tidak meningkat kerana faktor keluasan tanaman padi, pengurusan dan fasiliti kawasan jelapang padi.

Katanya, keluasan tanaman padi di Malaysia hanya kira-kira 600,000 ke 700,000 hektar jika dibandingkan dengan kawasan tanaman padi di Thailand seluas 10 juta hektar manakala Vietnam mempunyai 7.5 juta hektar.

“Salah satunya disebabkan berlaku pengurangan ribuan hektar kawasan tanaman padi yang digunakan untuk projek perumahan, tanaman-tanaman lain dan sebagainya. Ada juga penambahan kawasan padi dibuat tetapi tidak banyak.

“Sebab itu, kita mencadangkan supaya kawasan sawah padi ini diwartakan kerana kebanyakan kawasan merupakan milik kerajaan negeri. Keluasan tanaman padi perlu ditambah jika populasi penduduk termasuk pekerja asing semakin bertambah setiap tahun,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, jika keluasan tanaman padi tidak ditambah dengan segera, pengeluaran beras tempatan sekitar 1.6 juta tan metrik tidak lagi mencukupi meskipun mengimport beras dari luar negara.

“Tanah kurang tetapi populasi semakin bertambah, jika berterusan, kita tidak akan dapat menyaingi negara lain. Jika Thailand ada 10 juta hektar, Malaysia sejuta hektar pun tak sampai,” katanya.

Katanya, pengeluaran beras juga amat bergantung kepada pengurusan dan fasiliti di kawasan-kawasan tanaman padi, dalam menghadapi pelbagai cabaran seperti penyakit, bencana dan cuaca tidak menentu.

“Salah satu faktor statistik pengeluaran beras dilihat mendatar kerana faktor pengurusan. Ada juga kawasan yang tidak terurus dari segi penanaman, baja dan pengairan. Ia memerlukan pengurusan dan penjagaan yang betul bagi meningkatkan hasil pengeluaran,” katanya.

Justeru, katanya, jika keluasan tanaman padi dan fasiliti ditingkatkan, kerajaan tidak perlu lagi membelanjakan sehingga hampir RM3 bilion untuk beras import.

“Perbanyak penanaman padi di luar jelapang serta tingkatkan fasiliti. Jika 500,000 hektar ditambah, 1 juta hektar boleh tanam dua kali setahun, insya-Allah boleh capai SSR 75 peratus.

“Memang ia akan memakan masa dan duit tetapi lebih baik RM2.5 bilion ke RM3 bilion beras import setiap tahun digunakan untuk menambah keluasan tanaman, fasiliti dan sistem pengairan. Fikirkannya secara jangka panjang,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan, kekurangan beras putih tempatan adalah kesan langsung kenaikan harga pasaran beras putih import apabila harga pasaran global beras import telah meningkat sebanyak 60 peratus pada akhir Ogos 2022.

Keadaan ini telah diburukkan lagi dengan kemerosotan nilai tukaran wang asas ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sekatan eksport dari negara pengeksport utama beras seperti India.

Kesan penyelarasan harga beras import oleh Bernas pada 1 September 2023 telah menyebabkan permintaan beras tempatan meningkat secara mendadak kerana harga yang dikawal oleh kerajaan iaitu RM2.60 sekilogram adalah lebih murah berbanding harga beras import yang tiada kawalan harga.

“Ini mengakibatkan perubahan sikap pengguna daripada menggunakan beras import kepada beras tempatan yang lebih murah dan akhirnya menyebabkan bekalan beras tersebut berkurangan di pasaran.

Minggu lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, India bersetuju untuk mengeksport semula beras putih ke negara namun ia masih di peringkat awal kerana perlu melalui proses rundingan harga sebelum mengambil tindakan lanjut. – UTUSAN

 

Info

Pengeluaran beras tempatan dalam tempoh 10 tahun

2012 – 1.675 juta tan metrik
2013 – 1.677 juta tan metrik
2014 – 1.835 juta tan metrik
2015 – 1.767 juta tan metrik
2016 – 1.766 juta tan metrik
2017 – 1.656 juta tan metrik
2018 – 1,699.7 juta tan metrik
2019 – 1.516.3 juta tan metrik
2020 – 1.624.4 juta tan metrik
2021 – 1.686.3 juta tan metrik
2022 – 1.574.9 juta tan metrik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN