Warga asing cedera ‘dilibas’ rantai besi akibat tanya hutang

Warga asing cedera ‘dilibas’ rantai besi akibat tanya hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara berang ditanya hutang, seorang lelaki bertindak membaling rantai besi dan kunci mangga ke arah warga asing dalam kejadian di Pandan Utama, Ampang, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, suspek berusia 41 tahun itu dipercayai cuba memukul kepala menggunakan rantai besi selain menarik dan mengacu pisau ke arah mangsa yang juga pekerja restoran.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, bagaimanapun tindakan suspek berjaya dihalang oleh seorang lagi pekerja restoran.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang juga penganggur memanggil mangsa ke bengkel motosikal bersebelahan dengan restoran, tempat lelaki itu bekerja.

“Tiba-tiba suspek membaling rantai besi dan kunci mangga ke arah mangsa dan cuba memukul kepala menggunakan rantai besi.

“Akibat itu, mangsa cedera di jari telunjuk sebelah kiri dan jari kelingking sebelah kanan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Azam, punca kejadian disebabkan mangsa bertanya kepada saspek mengenai bayaran hutang yang tidak dibayar oleh suspek beberapa kali sebelum ini.

Jelasnya, susulan itu, sepasukan polis telah menjalankan rondaan telah membuat tangkapan terhadap suspek berhampiran lokasi kejadian.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah tidak dikehendaki dan ujian awal saringan air kencing adalah positif dadah jenis Benzo.

“Turut dirampas satu rantai beserta kunci mangga pisau pemotong daging. Suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN