Wabak sakit mata: Pastikan tidak kaitan dengan wabak lain

Wabak sakit mata: Pastikan tidak kaitan dengan wabak lain

GAMBAR HIASAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wabak penyakit konjunktivitis atau sakit mata perlu dielak dengan penularan wabak lain yang lebih serius memandangkan simptom mata merah adalah sama dengan gejala penyakit lain.

Pakar perubatan kesihatan awam daripada Fakulti perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, individu yang mengalami gejala penyakit konjunktivitis perlu segera untuk ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan supaya ia tidak berjangkit.

Kata beliau, simptom mata merah perlu dipandang serius kerana berkemungkinan dijangkiti wabak lebih berbahaya memandangkan gejala penyakit lain adalah sama dengan penyakit mata tersebut.

“Mana-mana pihak yang siasat mengenai wabak penyakit konjunktivitis ini kena pastikan ia bukan permulaan kepada penyakit lain. Sebagai contoh (jangkitan) Covid-19 juga pada mulanya pesakit boleh mengalami mata merah.

“Terdapat banyak penyakit lain juga boleh menyebabkan mata pesakit menjadi merah, kadang-kadang ia mula dengan simptom seperti tersebut tetapi dijangkiti wabak lain,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, sejumlah 147 kluster wabak penyakit konjunktivitis dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 5 Ogos lalu iaitu meningkat berbanding 63 kluster pada tahun lepas.

Kementerian berkenaan memaklumkan, daripada jumlah itu, terdapat 122 kluster atau 83 peratus berlaku di sekolah iaitu 103 kluster di sekolah menengah melibatkan 3,925 pelajar dan 19 kluster di sekolah rendah dengan seramai 318 pelajar mengalami jangkitan termasuk 18 kluster dilaporkan berlaku di sekolah berasrama.

Dr. Sharifa Ezat berkata, penularan wabak penyakit konjunktivitis di sekolah membimbangkan kerana ia akan menyebabkan pelajar-pelajar yang dijangkiti ketinggalan daripada segi akademik.

“Dalam kes-kes tertentu yang teruk, kemungkinan mata pesakit boleh mempunyai nanah, maknanya tahi mata akan bercampur dengan nanah jadi mereka tidak boleh ke sekolah lalu mengalami keciciran pendidikan dan akan memerlukan rawatan yang agresif sedikit.

“Tetapi, saya tidak merasakan penyakit mata tersebut akan menjadi satu wabak yang besar seperti mana kita alami akibat daripada Covid-19 sehingga berlakunya pandemik memandangkan ia menular melalui sentuhan bukan udara,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN