Ustaz Kazim mahu tarik anak muda sertai Perkim - Utusan Malaysia

Ustaz Kazim mahu tarik anak muda sertai Perkim

MOHAMMAD Kazim Elias berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan sebagai Tokoh Perkim Perak kepada beliau di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persepsi atau tanggapan bahawa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sebagai pertubuhan yang menjaga mualaf dan dianggotai oleh golongan berusia perlu diubah.

Penceramah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias berkata, sebagai pertubuhan yang dekat dengan masyarakat, Perkim perlu mendekati semua peringkat usia termasuk golongan muda.

Beliau berkata, sebagai penerima Tokoh Agama Perkim Perak, usaha akan dilakukan bagi membantu Perkim memperkasakan semula pertubuhan tersebut.

“Perkim telah berjasa besar kepada agama dan masyarakat Islam sejak puluhan tahun, tetapi mereka lebih diingati dengan mualaf.

“Ini perlu diperbetulkan dalam pemikiran masyarakat dan dalam hal ini, Perkim perlu ke hadapan melibatkan semua peringkat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima watikah pelantikan sebagai Tokoh Agama Perkim Perak 2023-2025 di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perkim Perak, Datuk Mohd. Najmuddin Elias.

Menurutnya, beliau akan membantu Perkim Perak dalam aktiviti dakwah, khususnya menggunakan media sosial kerana ia lebih mudah diterima golongan muda.

“Sudah sampai masanya kita perkasakan media sosial kerana melalui medium itu orang tahu mengenai peranan kita. Saya rasa Perkim ada keahlian yang bagus cuma kita perlu aktifkan sahaja.

“Insya-Allah, saya akan bantu dalam bentuk dakwah menerusi media sosial kerana ia lebih diterima oleh masyarakat khususnya anak muda,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Najmuddin berkata, pemilihan Mohd. Kazim adalah bagi mendapatkan pendapat dan pandangan beliau bagi meningkatkan lagi peranan pertubuhan itu dalam bidang dakwah, pendidikan dan kebajikan.

“Kita gunakan kepakaran dan ideanya selain kita gunakan fasiliti yang ada di Al-Barakah ini untuk Perkim. Seperti mana saya sebut tadi, kadang-kadang kita sewa hotel mahal, jadi apa salah kita buat di sini, orang di sini pun dapat manfaat dan PERKIM pun dapat manfaat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN