PETALING JAYA: “Usahlah berpolitik seolah-olah Islam hanya milik kita. Usahlah juga membuat provokasi demi menarik sokongan orang Islam dengan menaikkan sentimen kebencian.”
Demikian seruan Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali kepada Pas.
Mohd. Khairuddin berkata, di dalam Pas juga terdapat pimpinan bukan Islam iaitu Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) yang juga berhujah dan membaca ayat-ayat al-Quran ketika menyampaikan ucapan.
“Justeru saya berasa pelik bila ada pimpinam tertinggi Pas yang mempertikai dan membuat provokasi apabila ada bukan Islam di luar Pas yang turut berhujah dengan al-Quran.
“Malah, dulu ketika Pas bertahaluf dan bekerjasama politik dengan DAP, pemimpin DAP membaca ayat al-Quran di pentas-pentas ceramah Pas dan menjadi kebanggaan Pas pada ketika itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, melalui sebuah video yang tular dalam media sosial, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How mentafsirkan potongan ayat daripada surah an-Nisa.
Namun, Dewan Pemuda Pas Perak membidas dan menyifatkan Howard Lee sebagai kurang ajar dan cuba melakukan memprovokasi apabila mendakwa ahli Parlimen DAP itu menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelitkan tafsir ayat 59 surah an-Nisa.
Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md. Nor pula menyifatkan tindakan tersebut tidak seharusnya timbul kerana dilakukan bukan oleh seorang pakar tafsir al-Quran, malah penganut selain agama Islam.
Mohd. Khairuddin yang juga bekas bekas Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, tidak ada salahnya bagi bukan Islam berhujah dengan al-Quran sebagaimana huraian alim ulama bahawa al-Quran adalah kitab ilmu, hidayah dan panduan bagi kehidupan manusia.
Jelasnya, sesiapa pun termasuk bukan muslim boleh mengambil pengajaran, ilmu dan hikmah yang terkandung di dalam al-Quran sebagai hujaj akademik atau panduan hidup sebagaimana dihuraikan oleh para alim ulama Islam.
“Saya mendengar video seorang ahli parlimen bukan Islam berhujah tentang kepentingan ketaatan kepada pemerintah khususnya Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang ditubuh dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan memetik maksud firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 59,” katanya.
Tambahnya, tiada yang salah dalam hujahan tersebut kerana itu adalah apa yang dihuraikan oleh para alim ulama Islam tentang kepentingan ketaatan kepada ulil amri dalam Islam.
“Ia merangkumi ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan ketaatan kepada kerajaan Yang di-Pertuan Agong. Malah kewujudan kelompok Khawarij sebagaimana dihurai oleh alim ulama Islam.
“Dipetik juga olehaAhli Parlimen berkenaan adalah tepat dan benar kerana Khawarij adalah golongan yang memberontak dan derhaka kepada pemerintah Islam khususnya Khalifah Uthman dan Khalifah Ali R.A,” jelasnya. – UTUSAN