PETALING JAYA: Sistem nilai politik berteraskan agama, budaya dan adat tidak patut dilabelkan sebagai perkara yang negatif.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, negara sedang menuju ke arah persaingan politik berteraskan ideologi.
Bagaimanapun, katanya, jalannya mungkin masih jauh tetapi perjalanan ke arah itu sudah bermula.
Hari ini, katanya, parti seperti DAP dan PKR merupakan parti-parti aliran kiri berpandukan demokrasi sosial dan sosialisme manakala parti seperti Bersatu pula dalam aliran kanan berteraskan konservatisme prihatin.
Justeru, rakyat boleh memilih sama ada mahu parti kiri dalam Pakatan Harapan (PH) atau parti kanan bersama Perikatan Nasional (PN).
“Sebab itulah kritikan daripada rakyat hari ini adalah mengenai kegagalan kerajaan menangani kos sara hidup, kenaikan harga barangan keperluan asas, ketidakcekapan pentadbiran, ketelusan agensi penyiasat dan pendakwaan dan lain-lain yang berkait dengan dasar serta kompetensi anggota pentadbiran. Semuanya isu-isu dasar dan pentadbiran dan itulah budaya politik yang kita mahu.
“Malangnya apabila kerajaan PH-BN tidak dapat menjawab isu-isu kompetensi ini, mereka mengalih pandangan dengan memainkan isu kaum dan agama kerana mahu tumpuan rakyat lari dari kelemahan mereka.
“Cuma janganlah pula ada pihak yang cuba melabelkan sistem nilai politik berteraskan agama, budaya dan adat sebagai perkara yang negatif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Beliau berkata demikian merujuk kepada saranan seorang penganalisis politik yang mencadangkan supaya parti politik di negara ini bersaing secara profesional.
Wan Saiful berkata, tidak ada masalah jika sesebuah parti politik diinspirasikan oleh nilai-nilai agama dan budaya di berpuluh-puluh negara seluruh dunia.
“Cuba buat carian internet untuk ‘Christian party’ dan kita akan temui pelbagai parti termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Belanda, Italy, dan banyak lagi. Tidak salah untuk mengambil inspirasi dan panduan dari agama dan budaya.
“Jadi janganlah semata-mata kerana kita tidak selesa dengan sesuatu agama atau budaya atau kita tidak beragama, kita berkempen fobia kepada agama atau budaya itu.
“Menghalang penghayatan agama dan budaya, tak kira agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa saja, itu sudah terkeluar dari kerangka kebebasan demokrasi,” katanya. – UTUSAN