‘UMNO sejak awal yakin Ahmad Zahid mangsa pendakwaan

‘UMNO sejak awal yakin Ahmad Zahid mangsa pendakwaan politik Tun M’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO sejak dari awal yakin dan percaya Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan mangsa pendakwaan politik yang dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menerajui pentadbiran negara selama 22 bulan sebelum ini. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seluruh keluarga besar parti itu menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah melepaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Katanya, ia setelah mengambil kira keputusan yang diambil oleh Peguam Negara untuk memberhentikan pendakwaan kesemua baki pertuduhan itu. 

“Sejak dari awal UMNO yakin dan percaya bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Mahathir dilantik kali kedua sebagai Perdana Menteri ketujuh sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

“Lebih mendukacitakan, kezaliman terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid ini berlaku hanya beberapa minggu selepas Tun Mahathir selaku Pengerusi Parti Bersatu waktu itu mengancam supaya Datuk Seri Zahid membubarkan UMNO dalam pertemuan yang diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu dalam satu temuramah media.

“Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas)  lantikan Tun Mahathir dalam buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang dengan jelas memperakui terlibat langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu-individu politik berpengaruh bersama Perdana Menteri ketujuh waktu itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya. 

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu. 

Presiden UMNO itu dihadapkan ke mahkamah pada 2018 manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan. 

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, lebih malang lagi, kes pendakwaan politik itu tetap diteruskan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri walaupun Tan Sri Idrus Harun dan Tan Sri Azam Baki masing-masing dilantik sebagai Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu. 

“Namun, Alhamdulillah, walaupun kedua-dua Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikekalkan oleh Perdana Menteri Ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim), akhirnya mereka melakukan keputusan yang betul dengan memberhentikan pendakwaan tersebut. 

“Bahkan, satu daripada sebelas alasan pendakwa raya di Mahkamah Tinggi memberhentikan pendakwaan hari ini iaitu memperakui bahawa pendakwaan yang dibuat selama ini secara tergesa-gesa sedangkan siasatan tidak sempurna boleh menjejaskan kredibiliti AGC dan SPRM yang diperlihatkan menjadi alat pembunuhan musuh politik oleh pihak berkuasa. 

“Ini bagaikan mengesahkan satu memo taklimat yang tular (jika benar keabsahannya) beberapa minggu lepas yang disediakan oleh Ahmad Akram Gharib, Timbalan Pendakwa Raya kepada Peguam Negara waktu itu, Tommy Thomas yang hakikatnya mencadangkan bahawa tiada apa-apa pertuduhan boleh dibuat ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana tiada sebarang keterangan dan bukti menjurus kepada sebarang perlakuan jenayah adalah suatu yang amat menggemparkan. 

“Namun, hanya dua hari selepas tarikh memo tersebut dibentangkan kepada Peguam Negara waktu itu, pendakwaan tetap dilakukan bagaikan tergesa-gesa semacam ada tangan-tangan ghaib berniat jahat yang membuat pengarahan,” katanya. 

Dengan keputusan itu, Asyraf Wajdi berkata, ia semakin jelas kerakusan kepemimpinan Dr. Mahathir dan Parti Bersatu yang sanggup menganiaya pemimpin-pemimpin UMNO termasuklah Presidennya. 

Katanya, ia dengan memperkakaskan institusi-institusi perundangan di negara ini demi gejolak nafsu dan dendam untuk menghancurkan UMNO dan kononnya boleh menggantikan parti itu dalam perjuangan Islam dan Melayu di negara ini. 

“Besarlah harapan UMNO agar titik-titik hitam dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan negara begitu mudah diperalatkan hingga membawa kepada ketidakstabilan politik negara mestilah dititik-noktahkan. 

“UMNO berpendirian tegas agar di bawah Kerajaan Perpaduan ini, segala pendakwaan politik yang memperalatkan institusi-institusi yang menjadi benteng kepada sistem keadilan negara tidak lagi berulang. 

“AGC dan SPRM mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah mereka untuk melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuklah terhadap pimpinan UMNO dan ahli-ahli UMNO sendiri,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN