MELAKA: Penganjur Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini memohon maaf kepada pengunjung yang hadir pada hari pertama program, susulan tindakan menutup sementara ruang pameran statik bagi menghormati waktu Solat Jumaat, semalam.
Penganjur berkata, pihaknya mengakui berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pengunjung semasa penutupan tersebut.
Jelasnya, penutupan pada pukul 12.30 tengah hari itu hanya sementara dan ruang pameran kembali dibuka kepada orang awam pukul 2.15 petang.
“Kami mengakui terdapat beberapa ketidakselesaan dan ketidakpuasan hati di kalangan pengunjung semasa penutupan sementara ruang pameran statik pesawat bermula pada pukul 12.30 tengah hari hingga pukul 2 petang bagi menghormati waktu Solat Jumaat.
“Petugas lapangan terbang telah membuat pengesahan bahawa kawasan pameran adalah selamat kepada orang awam dan telah dibuka semula pada pukul 2.15 petang,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pengunjung yang hadir menyaksikan KUAM 2023 ralat dan tidak berpuas hati apabila perlu menunggu selama dua jam sebelum ruang pameran dibuka semula.
Tambahnya, penganjur akan segera memperbaiki sistem pembelian tiket dan kemasukan ke ruang pameran udara.
“Ini kerana kepuasan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan penganjur. Kami akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi dalam tempoh dua hari ini,” ujarnya. – UTUSAN