Tujuh terlibat insiden gaduh ditahan - Utusan Malaysia

Tujuh terlibat insiden gaduh ditahan

Gaduh
AHMAD Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh menunjukkan batang rotan digunakan dalam kejadian gaduh dekat sebuah restoran sekitar kawasan Banting di Kuala Langat, Selangor, pada Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Polis menahan tujuh lelaki berusia 19 hingga 37 tahun dipercayai terlibat insiden pergaduhan beramai-ramai dekat sebuah restoran di sekitar kawasan Banting, di sini, kelmarin.

Kesemua warga tempatan itu ditangkap dalam serbuan berasingan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 36 tahun pada 3 september lalu yang mendakwa dipukul oleh sekumpulan individu terbabit yang dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, insiden dipercayai berpunca daripada ketidakpuashatian mangsa apabila teman wanitanya diganggu oleh sekumpulan lelaki berkenaan.

“Sekumpulan lelaki terbabit disyaki berada bawah pengaruh alkohol dekat sebuah premis restoran.

“Bertindak atas maklumat, pada hari sama kira-kira pukul 4.50 petang, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menangkap dua lelaki di sekitar kawasan Banting.

“Hasil soal siasat, polis menahan lima lagi lelaki kira-kira pukul 7.30 dan 9.45 malam pada hari sama di sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, semakan rekod jenayah mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah. Bagaimanapun saringan awal air kencing terhadap semua suspek didapati negatif.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya