Tolak cara kaedah pemasaran murah, lebih hargai ejen - Utusan Malaysia

Tolak cara kaedah pemasaran murah, lebih hargai ejen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kebelakangan ini pelbagai cara dilakukan sesetengah pengusaha atau pengasas produk termasuk menggunakan taktik atau strategi melawan arus serta popular untuk dikenali dan tular.

Kebanyakannya berbuat begitu untuk tujuan pemasaran dan atas dasar ingin menarik lebih ramai orang untuk sertai pasukan bisnes mereka termasuklah menjadi ejen mahupun stokis.

Antara modus operandi berkenaan termasuk mempamerkan kekayaan harta seperti rumah besar, kereta mewah mahupun tas tangan mewah.

Bagaimanapun, cara sedemikian bukanlah pilihan pengasas syarikat Saudagaar Asia (S-Asia), Said Saiful Fazli, yang dikenali menerusi jenama produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin, ChocoAlbab.

Katanya, apa yang lebih utama ialah menghargai ejen yang dianggap sebagai aset syarikat selain sentiasa mengamalkan sikap tidak lokek untuk melabur wang demi memberikan ganjaran dan hadiah sebagai suntikan semangat kepada mereka.

“Sebelum mempunyai jenama produk sendiri, saya pernah 13 tahun bergelar ejen menjual produk orang lain. Apabila saya berjaya buat ‘sales’ atau melonjakkan jualan, pihak ibu pejabat sangat meraikan saya. Sebab itu apabila di posisi sekarang, saya terus praktikkan benda sama kerana saya sangat memahami apa yang ejen mahukan.

“Lumrah dalam hidup, kita akan rasa dihargai apabila setiap kerja dilakukan berbaloi dengan hasil dimiliki. Lebih daripada itu, kita dihargai dengan anugerah atau pelbagai ganjaran untuk menyuntik semangat bekerja. Macam pelakon dan penyanyi, bakat mereka diiktiraf dengan trofi anugerah.

“Selama ini ejen sayalah yang banyak buat jualan untuk syarikat. Jadi tak salah untuk syarikat meraikan dan menghargai mereka. Bukan banyak kos pun untuk semua itu dan nak dibanding dengan usaha ejen melonjakkan jenama dan jualan produk,” katanya.

Namun, Said berkata, dalam berniaga ini tak ada istilah modus operandi digunakan.

“Terpulang kepada niat dan tujuan masing-masing. Ada yang cakap itu cara yang betul. Tapi antara wajar dan tidak, tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan masing-masing.

“Pada akhirnya, saya percaya guna modus operandi sebegitu atau tidak, niat pengasas produk seperti kami hanya mahu memberi manfaat kepada orang ramai dan membuatkan produknya dikenali.

“Cuma pada pandangan peribadi, apabila pengasas produk tak pandai menghargai ejen dan hanya sentiasa nak tunjuk kemewahan semata-mata sedangkan ejen terus bergelut, tiada gunanya juga. Mungkin ejen itu takkan lama setia dengan kita,” katanya.

Tambah Said lagi, dia percaya apabila wujud konsep ramai ejen yang mempromosi jenama produknya, maka di situ ada potensi lonjakkan nama ChocoAlbab.

“Saya takkan melupakan jasa ejen-ejen yang berusaha keras menaikkan jenama. Ramai ejen saya yang sudah nikmati bonus dan pelbagai rezeki dengan menjual produk ini. Malah syarikat baru saja pulang bercuti menerusi percutian mewah ke Club Med Cherating dan Splash Mania Water Park, Banting.

“Seramai 450 ejen berpeluang menikmati ganjaran percutian itu. Pendek kata, selain memberi ganjaran anugerah dan hadiah, syarikat banyak melaburkan wang untuk pemasaran untuk ejen atau saya sebut sebagai ‘anak team’. Tiga kali seminggu ada kelas latihan pemasaran untuk mereka,”katanya.

Dalam pada itu, tegas Said lagi, dalam berniaga perlu ada perancangan kemampanan perniagaan.

“Melihat jenama popular bertahan, dari situlah saya nampak bagaimana boleh cari makan dengan cara yang berpanjangan. Sebab di luar sana, ada pengasas yang praktikkan cara ‘touch and go’. Cara sebegitu juga mewujudkan ejen yang ‘touch and go’.

“Sedangkan saya nak ejen serta pengedar yang bertahan lama dan bukan bermusim. Sebab itu juga saya suka amal cara syarikat jualan langsung yang lebih praktikal berbanding mengejar sensasi ‘modus operandi’ yang bersifat sementara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN