SUNGAI PETANI: Tiga mangsa ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan 10 unit rumah kedai dua tingkat di pekan Kota Kuala Muda dekat sini, awal pagi tadi.
Antara premis perniagaan yang terlibat dalam kebakaran kira-kira pukul 1 pagi itu adalah kedai runcit, kedai perabot, kedai serbaneka, kedai membaiki perkakas elektrik dan kedai jahit.
Seorang peniaga, Ng Lin Hoe, 70, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya, Leong Kam Hong, 74, serta dua orang cucu mereka berusia 9 dan 12 tahun sedang berada di dalam rumah kedai tersebut.
“Ketika itu, saya serta dua cucu sedang nyenyak tidur sebelum terdengar suara suami saya menjerit menyuruh kami bertiga bangun.
“Suami beritahu ada kebakaran di deretan rumah kedai kami dan meminta kami bergegas keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Lin Hoe yang menjalankan perniagaan membaiki perkakas elektrik berkata, mereka hanya sempat menyelamatkan buku-buku sekolah cucunya serta beberapa dokumen penting milik mereka sekeluarga.
“Sebaik sahaja keluar, saya lihat api sedang marak di empat buah rumah kedai sebelum merebak ke rumah kedai saya dan yang lain-lain,” katanya. – UTUSAN