Tiada notis pemakluman Himpunan Selamatkan Malaysia diterima

Tiada notis pemakluman Himpunan Selamatkan Malaysia diterima – KP KL

ALLAUDEEN ABDUL MAJID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya Himpunan Selamatkan Malaysia tetap berlangsung di ibu negara, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran himpunan tersebut.

Tegasnya, tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya masih terdapat sebarang aktiviti yang mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“Sebarang pemakluman harus disertakan dengan lampiran kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemilik lokasi perhimpunan bakal diadakan.

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa juga notis pemberitahuan daripada pihak penganjur untuk mengadakan ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’,” katanya ketika ditemui di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan penganjur bahawa makluman telah dibuat Allaudeen berkata, notis pemakluman harus diserahkan empat hari sebelum tarikh himpunan.

“Selepas hanya berbaki tiga hari menjelang Sabtu, kita menganggap tidak menerima sebarang pemakluman daripada mana-mana penganjuran perhimpunan.

“Notis pemakluman bertujuan untuk memudahkan polis melakukan penyelarasan dan melancarkan aliran trafik,” katanya.

Jelas Allaudeen, penganjur perlu mempunyai tanggungjawab untuk membuat pemakluman dan bertindak mengikut undang-undang yang diperuntukkan.

“Bagi penganjur pula tanggungjawab mereka adalah memberitahu pihak polis supaya kita dapat menyelaras dan mengaturkan keanggotaan yang sewajarnya demi keselamatan,” katanya.

Justeru, Allaudeen berkata, pihak polis tetap akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan.

“Bagaimanapun setakat ini, kita tidak mempunyai perancangan untuk melakukan penutupan jalan disebabkan perhimpunan yang bakal berlangsung, pihak polis sentiasa bersiap-siaga terhadap sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai perancangan satu lagi perhimpunan oleh kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, Allaudeen meminta masyarakat memberi ruang dan menyerahkannya kepada polis untuk mengawasi kumpulan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN