Tengah malam dengar tangisan bayi di tapak binaan rumah - Utusan Malaysia

Tengah malam dengar tangisan bayi di tapak binaan rumah

Bayi
RAMLI Kasa menunjukkan gambar seorang bayi ditemui dekat sebuah rumah yang sedang dibina dekat Kampung Pasir Tuntong di Kuala Selangor, Selangor, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Bunyi tangisan kuat membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di belakang sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Pasir Tuntong di sini, awal pagi tadi.

Perkara itu disedari penduduk yang pelik mendengar suara berkenaan sebelum terkejut menemui bayi masih bertali pusat berkenaan, kira-kira pukul 1.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam dan turut menghubungi Hospital Tanjong Karang.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bayi itu dalam keadaan bogel dan masih bernyawa di lantai simen rumah tersebut.

“Selain tanpa sebarang pakaian, tiada nota atau barangan lain ditemui di lokasi berkenaan.

“Rumah kampung itu dalam proses pembinaan dan bayi berkenaan dihantar ke hospital bagi pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini, petang ini.

Tambah Ramli, siasatan awal mendapati bayi itu baru saja dilahirkan sebelum ditinggalkan di rumah berkenaan.

“Bangsa bayi itu belum dikenalpasti dan polis sedang mengesan individu terlibat bagi membantu siasatan. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana sengaja membuang bayi atau meninggalkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ikhwan Mohd. Zuki di talian 019-9699015 atau balai polis berdekatan bagi tindakan lanjut.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, pihaknya memberkas seorang lelaki warga emas yang didapati menyamun sebuah kedai emas di pekan Tanjong Karang di sini, 15 September lalu. 

“Suspek berusia 63 tahun itu dikatakan berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan rantai emas bernilai RM12,000, pukul 10.40 pagi. 

Lelaki itu kemudian berjaya ditahan di rumah sewanya di Banting keesokkan hari berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya