Tarik bakat terbaik, pakar dari luar negara untuk kerja kerajaan

Tarik bakat terbaik, pakar dari luar negara untuk kerja kerajaan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa usaha sedang dilakukan untuk menarik bakat terbaik di peringkat pendidikan tertinggi dan pakar dari luar negara untuk berkhidmat dengan kerajaan.

Perdana Menteri mengakui, sistem pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam ketika ini masih menggunakan pendekatan lama sehingga gagal menarik bakat terbaik.

Katanya, disebabkan itu, kerajaan menubuhkan jawatankuasa untuk membuat pembaharuan terhadap perkhidmatan awam.

“Kalau ada master (ijazah sarjana) dan PhD (doktor falsafah) ajar di sekolah rendah, dia akan sama macam graduan lain, jadi ia sebenarnya tidak menarik bakat terbaik.

“Malah, soal promosi (kenaikan pangkat), prosesnya birokrasi dan tradisional, kita sebenarnya tidak mengenal pasti bakat terbaik yang wajar diberikan tanggungjawab. Jadi insya-Allah kita akan buat pembaharuan dan saya menunggu cadangan,” katanya dalam majlis makan malam bersama diaspora dan pelajar-pelajar Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga sedang berusaha mengenal pasti dan menggalakkan pakar-pakar dari luar negara supaya pulang berkhidmat di tanah air.

“Kita sedang berhubungan dengan mereka yang boleh menyumbang dan kita galakkan mereka pulang ke tanah air supaya kita boleh meletakkan mereka dalam bidang khusus yang boleh mereka bantu.

“Ia boleh dilakukan dan ia sedang dilakukan, sebab kita berdepan masalah brain drain bertahun-tahun kebelakangan ini seperti ilmuan, pakar ekonomi, pakar akauntan jadi kita perlu ada sistem yang boleh menggalakkan mereka untuk kembali dengan menawarkan mereka insentif bersesuaian,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar mengakui antara cabaran utama untuk menarik bakat terbaik dan pakar dari luar negara adalah kerana soal pendapatan yang ditawarkan di negara ini.

“Jika kita lihat carta produktiviti dan kenaikan gaji ada jurang, walaupun ada syarikat mempunyai keuntungan yang baik, dia sebenarnya tidak memberi bayaran yang sewajarnya kepada pekerjanya dan ini perlu dikaji semula, kerana kerajaan amat menggalakkan syarikat yang mencatatkan keuntungan besar berkongsi keuntungan dengan pekerja. Kita telah menubuhkan jawatankuasa untuk menyemak struktur gaji tetapi ia terikat dengan dana sedia ada.

“Saya juga menerima hakikat gaji penjawat awam agak rendah, kita mempunyai cadangan khusus mengenai dasar gaji progresif dan ada kemungkinan kerajaan memperuntukkan beberapa dana sebagai sokongan awal kepada syarikat untuk meningkatkan gaji pekerja,” katanya.

Namun, pada masa sama, katanya, kerajaan masih berhutang RM1.5 trilion, dengan defisit 5.6 peratus.

“Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, saya perlu mengurangkan hutang dan defisit ini. Jadi, keputusan untuk menambah pendapatan penjawat awam dan pekerja perlu dibuat secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN