Tangkis maklumat palsu elak pembelian panik beras 

Tangkis maklumat palsu elak pembelian panik beras 

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI – Kementerian Komunikasi dan Digital sedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menangkis berita palsu berhubung kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, langkah itu memberi nilai tambah kepada kempen yang digerakkan oleh KPDN yang berterusan menjalankan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan beras tempatan mencukupi di pasaran.

“Saya rasa yang paling penting adalah kita menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat supaya tak ada pembelian panik yang berlaku ketika ini.

“Saya rasa ini adalah fenomena yang bersifat sementara sahaja dan KKD akan membantu KPDN untuk sampaikan mesej kepada rakyat supaya keadaan ini akan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pada program penyerahan khemah kepada peniaga di Pasar Tani Jalan Merbau, Bandar Putra, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen menyerahkan sebanyak 120 khemah kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga kecil daerah Kulai.

Beliau juga memberitahu, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau berita palsu serta informasi mengelirukan mengenai kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran.

Katanya, orang awam boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan tindakan selanjutnya untuk diambil.

Ditanya mengenai laporan polis Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berhubung penularan video lama yang mendapat kecaman warganet, Nie Ching memaklumkan pihak SKMM tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

“Saya difahamkan Timbalan Menteri KPDN (Fuziah) telah membuat laporan polis, jadi kita beri laluan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sejak kelmarin, tular video Fuziah berbelanja barangan keperluan yang membuktikan kos perbelanjaan dibuat tidak mencecah RM200, bagaimanapun video itu yang dipercayai tular bulan lalu mendapat kecaman hebat warganet yang mempertikaikan tindakan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN