KUALA LUMPUR: Sekitar awal tahun lalu, pelakon, Zarina Zainuddin terpalit dengan dakwaan melakukan pembedahan kosmetik. Ia terutama pada bahagian hidung yang didakwa netizen sudah kelihatan berbeza berbanding dengan penampilannya sebelum itu.
Malah, spekulasi itu dikuatkan lagi menerusi dakwaan orang yang mengatakan proses pembedahan yang dijalani semata-mata kerana kemahuannya untuk tampil cantik.
Menafikan hal tersebut, Zarina berkata, tindakannya melakukan pembedahan tempoh hari adalah bagi menamatkan penderitaan sinus yang dialaminya sejak sekian lama.
“Saya pernah maklumkan mengenai masalah sinus teruk yang dihadapi kepada umum sebelum ini, tetapi nampaknya masih ramai yang tak percaya. Terus-terang, tak cuma sinus, saya juga alami migrain sehingga selalu sakit kepala.
“Jadi atas nasihat doktor, saya jalani pembedahan bagi membuang bendalir dalam hidung. Saya tak buat demi nak cantik, semuanya kerana masalah kesihatan yang dihadapi,”katanya.
Tidak cuma itu, Zarina juga kembali menjadi bahan bualan apabila dia mendedahkan melakukan pembedahan bariatrik sekitar Ogos lalu.
Menurut pelakon berusia 53 tahun ini, keputusan itu dibuat berikutan dia mengalami masalah sakit tumit dan lutut kerana berat badan.
“Ya, pembedahan itu juga saya buat bagi menangani masalah sakit tumit dan lutut yang dialami. Bila semakin berusia, berat badan bertambah, ia menjadi punca kepada sakit yang saya alami.
“Doktor pun menasihatkan saya supaya menjalani pembedahan tersebut dan saya tak buat kerana suka-suka. Saya harap orang ramai hentikanlah tohmahan salah terhadap saya.
“Segala keputusan saya untuk menjalani proses pembedahan itu bukanlah kerana tujuan kosmetik atau nak cantik, tetapi harus ditekankan, ia adalah semata-mata kerana faktor kesihatan,”katanya.