Taiwan membuka mata pelancong Muslim - Utusan Malaysia

Taiwan membuka mata pelancong Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mencari peluang untuk meneroka sesebuah destinasi pilihan tentunya menjadi antara ‘bucket list’ mana-mana individu yang gemarkan cabaran dan pengalaman yang baharu.

Terutama jika sudah biasa menetap di kawasan beriklim khatulistiwa seperti Malaysia, adakala, kehendak untuk melancong atau menikmati percutian ke negara yang beriklim sejuk atau empat musim sememangnya menjadi dambaan semua.

Sama ada mahu merasai dan menikmati makanan di negara luar, mengenali sosio budaya, dan ragam masyarakat lain, ia terpulang kepada apa keinginan masing-masing saat bercuti ke negara orang.

Pun begitu, bagi pelancong Muslim, apa yang penting semasa melancong dan bercuti, selain tempat penginapan yang selesa, isu halal seringkali menjadi keutamaan memandangkan ia bukan isu yang boleh diambil sambil lewa.

Faktor halal juga menjadi cabaran dan kesukaran kerana kebanyakan negara bukan Islam, tentunya tidak menyediakan keperluan sebaiknya untuk memastikan destinasi pelancongan mereka bersifat mesra Muslim.

Namun, daya usaha itu kini telah semakin cakna dipraktikan oleh beberapa negara luar terutama dalam menarik lebih ramai pelancong asing beragama Islam ke negara mereka.

Taiwan adalah antara negara yang bijak merencana pengurusan pelancongan mesra Muslim dan ini diimarahkan lagi dengan kerancakan promosi Salam Taiwan yang diusahakan oleh Biro Pelancongan Taiwan.

Menerusi slogan Salam Taiwan, negara itu kini memfokus kepada pensijilan halal dalam aspek penginapan, tempat persiaran dan pusat membeli-belah untuk meningkatkan persekitaran mesra Muslim.

Ini meliputi restoran halal bertaraf lima bintang, pusat rekreasi dan restoran yang dibuka oleh penduduk Islam di negara tersebut yang menjadi nilai tambah dalam menarik lebih ramai pelancong Muslim lain ke negara itu.

Mengangkat nilai ‘Trending’, ‘Vibrant’ dan Romantik, tiga elemen ini diimplimentasi oleh Taiwan dalam mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan mereka yang sebenarnya tidak kurang hebatnya dengan mana-mana negara lain.

Jika tidak pernah berpeluang menjejakkan kaki ke negara ini, rasanya, Taiwan boleh dilengkapkan dalam senarai destinasi liburan anda yang inginkan banyak pilihan lokasi menarik dalam satu pakej.

Kota metropolitan Taipei misalnya, bukan sekadar kukuh berdiri sebagai hutan batu, tetapi turut menyimpan banyak khazanah pelancongan yang tentunya menarik untuk dikunjungi.

Berikut adalah antara lokasi di Taipei yang boleh dilawati sekiranya anda berkunjung ke Taiwan.

Xpark Aquarium


Merupakan aquarium terbesar yang pertama di Taiwan, X Park Aquarium ini dianggarkan berkeluasan sekitar 14.876 meter persegi dan menyimpan pelbagai jenis habitat laut seperti, ikan, anjing laut, penguin dan banyak lagi. Paviliun tiga tingkat ini menyediakan banyak aktiviti menarik untuk pengunjung dan ia tidak cuma sekadar melihat haiwan semata-mata.

Anda juga boleh berehat sambil menikmati secawan kopi yang disediakan di tingkat satu sebelum menyambung semula ‘pengembaraan’ di dalam X Park Aquarium yang turut dilengkapi dengan teknologi visual yang berkualiti tinggi.

Memorial Chiang Kai-Shek

Merupakan monumen kebangsaan yang terkenal, mercu tanda dan tarikan pelancong ini didirikan sempena mengenang Generalissimo Chiang Kai-shek, bekas Presiden Republik China.

Monumen ini dikelilingi oleh taman, dan berdiri di hujung timur Memorial Hall Square. Ia diapit di utara dan selatan oleh Teater Nasional dan Dewan Konsert Nasional

Menariknya, pengunjung yang hadir berpeluang menyaksikan tentera yang ditugaskan menjaga monumen Chiang Kai-Shek beraksi dalam formasi yang begitu kemas dengan pertukaran pengawal berlaku selang satu jam.


Menara Taipei 101 Observation

Memiliki struktur binaan yang sangat unik, menara Taipei 101 menjadi ikon kebanggaan rakyat Taiwan.Kehebatan teknologi juga terserlah menerusi binaan lif menara ini yang difahamkan antara lif terlaju di dunia. Ia mengambil masa cuma 1 minit sahaja untuk naik dari bawah hingga ke tingkat 89.

Pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar Taipei dari tingkat 89 ini, Tidak cuma itu, di tingkat yang sama, turut disediakan kemudahan menarik seperti kafe, kedai cenderahati, kedai cetak gambar khas, kedai aiskrim, kedai jualan setem, Posbox paling tinggi di Taiwan dan banyak lagi.


Kilang Vigor Pineapple Cake Dream

Bukan sekadar kilang, tetapi ia juga merupakan lokasi yang menyediakan kemudahan buat pengunjung untuk membeli pelbagai rangkaian produk berasaskan nenas yang menjadi antara hasil buah-buahan paling banyak dieksport Taiwan ke luar negara.

Di sini, pengunjung juga dibenarkan untuk membuat aktiviti menghasilkan tart nenas, menjadikan pengalaman setiap pengunjung itu lebih bermakna.

Gaomei Wetland

Lokasi ini antara yang laris menjadi pujaan para pelancong yang berkunjung ke Taiwan. Terletak di bandar Taichung, Gaomei Wetland dianggap istimewa kerana ia menyajikan pemandangan yang sukar digambarkan.

Dahulu, ia dikenali sebagai Santuari Hidupan Liar Gaomei. Kawasan ini kaya dengan sumber ekologi dan landskapnya yang cantik dengan deretan kincir angin gergasi menghiasi sekitar lokasi. Usah lepaskan peluang untuk bergambar di sini sekali gus mencipta kenangan yang indah.

Chun Shui Tang Tea House

Terletak kira-kira 165 kilometer dari bandaraya Taipei, kafe ini merupakan antara kedai tertua di Taiwan yang mencipta dan menyediakan minuman teh boba. Menurut sejarahnya, teh boba dicipta oleh Pengurus Pembangunan Produk Chun Shui Tang Tea House, Lin Hsui Huilt.

Taman Bunga Zhong-she

Terletak di daerah Houli, Taichung, iaitu sekitar 160 kilometer (km) dari Taipei, taman bunga ini antara yang terbesar ada di Taiwan. Mempunyai pelbagai spesies bunga yang berwarna-warni, antara tarikannya ialah tanaman bunga tulip, mawar, bunga matahari, lavender dan banyak lagi.

Menariknya, pengunjung juga boleh bergambar dengan kreativiti sendiri berlatar belakangkan pelbagai replika yang disediakan di kawasan taman seperti piano, dram, kincir angin dan macam-macam lagi.


Taman Tema Lihpao Land

Sesekali, apa salahnya menyelitkan aktiviti ke Taman Tema dalam senarai program jalan-jalan anda. Tidak rugi berkunjung ke taman tema Lihpao Land yang terletak di Taichung kerana di sini, pelbagai aktiviti tersedia untuk anda pilih.

Mempunyai pelbagai permainan yang menyeronokkan, raih pengalaman menarik di Discovery World atau di Mala Bay. Di sini juga terdapat roda Ferris Sky Dreams yang menjanjikan pengalaman yang mempesonakan buat anda.

Bagi yang menyukai aktiviti ekstrem, jangan lepaskan peluang untuk mencuba roller coaster dengan penurunan condong 90 darjah yang pertama di dunia!


Kafe Ais Krim Miyahara

Apabila berada di Taiwan, jangan lepaskan peluang untuk menikmati aiskrim Miyahara yang terkenal di negara ini. Tidak cuma itu, Miyahara juga merupakan sebuah restoran dan kedai yang menawarkan pelbagai jenis biskut, coklat, kuih tradisional dan aiskrim.

Seni bina bangunannya juga menjadi tarikan pengunjung. Sedikit info, kafe ini dibina pada tapak sebuah hospital tertua yang menjadi sejarah ketika penjajahan Jepun ke atas Taiwan suatu ketika dahulu.

Tasik Sun Moon

Tasik Sun Moon terletak di tengah Taiwan, dengan paras ketinggian sehingga 748 meter di atas paras laut. Ia merupakan satu-satunya tasik besar semulajadi di Taiwan. Bahagian selatan Pulau La Lu berbentuk seperti bulan yang baru dan bahagian utara berbentuk seperti matahari. Disebabkan itu ia dinamakan Tasik Sun Moon.

Pemandangan yang paling terkenal di sekeliling Tasik Sun Moon adalah Itashao, Pulau Lalu, Tokong Syuentzang, Pagoda Tsen, Tokong Wenwu dan sebagainya. Hutan semulajadi yang menyempadani jalan-jalan ini adalah tempat-tempat yang baik untuk memerhati burung.

Ladang Biri-Biri Qingjing

Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke ladang biri-biri Qingjing kerana anda pasti tidak akan menyesalinya. Memiliki udara yang segar, pokok-pokok yang merimbun, ladangnya juga penuh dengan bunga-bungaan yang mekar segar

Sesekali, terasa seakan berada di tanah Nordik! Ladang ini juga dikenali sebagai Taman Pic di Atas Kabut. Antara tarikan ialah di Qingqing Grassland, pusat penternakan, pusat perkhidmatan pelancong, pusat riadah pelancong, dan Qingjing Small Swiss Garden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN