Syed Saddiq, lebih baik tumpu kes mahkamah sendiri - Howard Lee - Utusan Malaysia

Syed Saddiq, lebih baik tumpu kes mahkamah sendiri – Howard Lee

HOWARD Lee memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisa’ dan mengaitkannya dengan pemimpin Pas yang didakwanya membawa fahaman Khawarij yang mengkafirkan umat Islam yang lain mengakibatkan beliau menjadi sasaran kecaman ahli dan pemimpin Pas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pemimpin DAP menegaskan kepada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya memberi tumpuan terhadap kesnya di mahkamah berbanding menyentuh kes mahkamah pemimpin lain.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Howard Lee Chuan How berkata, Syed Saddiq tidak seharusnya bertindak kurang ajar dan bersifat kebudak-budakan kepada mana-mana parti hanya kerana isu melibatkan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hangat dibincangkan.

“Syed Saddiq perlu berikan tumpuan dahulu terhadap kes mahkamah beliau sendiri. Dia tidak perlu kurang ajar dan bersifat kebudak-budakkan kepada mana-mana parti dek kerana isu tersebut hangat demi mengenyangkan kelaparan popularitinya.

“Soalan yang perlu beliau jawab juga adalah bagaimana sekiranya kes pecah amanah dia sendiri juga turut diberi DNAA? Adakah parti dia juga akan tergolong ‘lapdog’ (anjing ribaan), hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip kerana mempunyai seorang presiden sebegitu rupa?

“DAP sebagai parti berprinsip dan rakan setia yang telah menyokong dan membantu Syed Saddiq dan partinya di puncak gunung mahupun jauh ke dalam lurah, masih memberi khidmat guaman dan solidariti tanpa belah bahagi sewaktu dia sendiri dituduh dengan kes pecah amanah, harusnya Syed Saddiq lebih wajar bermuhasabah diri,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Syed Saddiq semalam dilaporkan mendakwa DAP sebagai hipokrit, gila kuasa, tiada prinsip dan ‘lapdog’ kepada Ahmad Zahid.

Dakwaan itu dibuat susulan kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming yang menasihatkannya adalah lebih profesional untuk Ahli Parlimen Muar itu berbincang dengan kepimpinan kerajaan sebelum mengugut menilai semula sokongannya.

Muda baru-baru ini mengancam keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah.

Syed Saddiq pula kini di peringkat membela diri terhadap pertuduhan pindaan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Peguam Gobind Singh Deo merangkap Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP mewakili Syed Saddiq di dalam kes tersebut.

Mengulas lanjut, Chuan How juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sudah tiba masanya untuk Muda mengumumkan menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan disebabkan keceluparan dan penghinaan dilontar DAP.

“Keceluparan dan penghinaan yang dilontar ini ibarat sudah membakar semua jambatan yang ada. Syed Saddiq dan parti Muda ibarat api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan parasit dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin dengan penarikan sokongan dan hilangnya Muda dari dalam Kerajaan Perpaduan, kita akan lebih mudah fokus. Tugasan kita dalam membina negara dan menjaga kebajikan rakyat akan lebih senang kerana tidak ada lagi keperluan untuk melayan kerenah ‘kebudak-budakan’ sesetengah individu dan parti,” katanya.

Katanya lagi, sebagai presiden parti sekutu di dalam Kerajaan Perpaduan, sikap seperti itu tidak membawa nilai tambah kepada Muda.

“Politik gelar-menggelar ini terang-terangan suatu politik nafas lama (yang beliau sendiri kritik), jauh menyimpang daripada nilai-nilai politik baharu yang diperjuangkan Muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya