MACHANG: Seorang lelaki yang terlibat dalam kegiatan mencuri lembu mati ditembak selepas cuba menyerang anggota polis menggunakan senjata tajam di Tok Bok, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, suspek yang juga pemandu kereta bertindak keluar daripada kenderaannya dan menyerang anggota polis sebelum melarikan kenderaan unit peronda (MPV).
Timbalan Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, sebelum itu anggota bertugas telah memberi amaran kepada lelaki berkenaan dan kemudiannya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek bagi mempertahankan diri daripada diserang.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak meluru masuk ke bahagian tempat duduk MPV dan melarikan kenderaan tersebut ke arah Kota Bharu.
“Bagaimanapun, kita berjaya menahan rakan suspek yang berusia 43 tahun dan berasal dari Kubang Kerian untuk membantu siasatan.
“Kenderaan peronda polis yang dilarikan dijumpai berhenti di tepi jalan kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati suspek meninggal dunia di bahagian kerusi pemandu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mohd. Ali berkata, sebelum kejadian anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah Machang melakukan rondaan di kawasan Kampung Joh, Labok, dekat sini setelah menerima aduan dan maklumat awam berkaitan sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, setelah menyedari kehadiran pihak polis, kereta yang dinaiki dua suspek itu bertindak memecut melarikan diri sebelum dikejar melalui jalan Machang ke arah Kota Bharu.
“Ketika itu, pihak polis telah memberikan arahan dengan pembesar suara supaya suspek memberhentikan kenderaan.
“Pada masa sama, berlaku beberapa kali pelanggaran antara kereta suspek dengan kenderaan peronda polis hingga kereta suspek terbabas ke kanan jalan di kawasan Kampung Labok,” ujarnya.
Mohd. Ali berkata, siasatan mendapati suspek berusia 33 tahun itu berasal dari Pengkalan Chepa dan mempunyai beberapa rekod jenayah.
Katanya, siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian suspek telah terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di Kawasan Kampong Joh, Labok, dekat sini ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi tersebut.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek telah menjumpai peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki Cina yang beralamat di Sungai Besar, Selangor.
“Mayat suspek dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ),” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk di Tok Bok, di sini mendakwa terdengar beberapa letupan kecil dari luar kawasan rumahnya semasa bangun dari tidur untuk bersiap bagi menunaikan solat subuh berjemaah di masjid awal pagi tadi.
Abdul Samad Hamzah, 74, berkata, awalnya dia beranggapan letupan itu disebabkan oleh kemalangan jalan raya selepas melihat sebuah kereta terbabas di hadapan kawasan rumahnya.
Menurutnya, andaian itu meleset sama sekali apabila dia ditegur oleh seorang anggota polis yang berada di hadapan rumah sebaik sahaja keluar untuk ke masjid.
“Sebelum itu, sekitar pukul 4 pagi saya bangun dan bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh di masjid sebelum terdekat tiga das letupan. Ketika ingin membuka pintu pagar rumah, saya turut melihat seorang lelaki yang ditahan oleh beberapa anggota polis.
“Saya ada bertanyakan kepada salah seorang anggota polis mengenai apa yang berlaku dan dia memaklumkan ia adalah berkaitan urusan pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Abdul Samad memberitahu, bagaimanapun dia dan isterinya hanya mengetahui kejadian sebenar selepas pulang dari solat subuh. – UTUSAN










