Suhaizan mampu teruskan legasi ayah -Anak sulung Salahuddin

Suhaizan mampu teruskan legasi ayah -Anak sulung Salahuddin

ISKANDAR Zulkarnain percaya Suhaizan mampu teruskan legasi ayahnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Anak sulung kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Iskandar Zulkarnain, 37, percaya Ahli Parlimen Pulai baharu, Suhaizan Kayat dapat meneruskan legasi perkhidmatan ayahnya.

Menurut Iskandar Zulkarnain, Suhaizan merupakan salah seorang daripada anak didik Salahuddin di dalam dunia politik, oleh itu sedikit sebanyak ilmu berkaitan telah diterapkan kepada beliau.

“Ayah saya memang rapat dengan Suhaizan, hubungan mereka lebih kurang macam anak didik. Saya akui untuk mencari individu yang sama memang tidak mungkin, tetapi sekurang-kurangnya apa yang diajar dan dididik Allahyarham ada pada beliau.

“Oleh itu, beliau boleh bawa didikan tersebut sebagai satu panduan dalam soal kerja, sudut peribadi itu semua tidak sama tetapi InshaAllah dalam soal kerja beliau boleh teruskan legasi ayah sebagai Ahli Parlimen sebaiknya,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Dewanraya Taman Bukit Indah, di sini.

Iskandar Zulkarnain turut memberitahu, kemenangan calon PH bagi kerusi Parlimen Pulai dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram amat bermakna buatnya sekeluarga secara peribadi.

“Ini kemenangan bermakna untuk Allahyarham, kerana Amanah dapat mengekalkan kerusi yang disandangnya sebelum ini dengan majoriti yang cemerlang. Kalau ayah masih ada, dia mesti rasa bangga.

“Ini kerana bukan mudah buat ayah mendapatkan kerusi tersebut. Dia bertanding di Parlimen Pulai dua kali tewas, hanya pada cubaan ketiga baharu menang, jadi, kita bersyukur kerusi ini kekal dan rakyat masih ada sentimen Salahuddin di situ,” ujarnya yang juga merupakan ahli Amanah Bahagian Pulai.

Sementara itu, bapa kepada lima orang anak tersebut turut tidak menolak kemungkinan untuk aktif dalam berpolitik selepas ini.

“Semasa ayah ada, dia tidak benarkan anak-anak sertai politik, tetapi, saya ada juga minat cuma perlu belajar banyak perkara khususnya selok belok dalam dunia politik.

“Rasa sayang sekiranya mahu tinggalkan terus nama Salahuddin daripada dunia politik, jadi saya mahu kekalkan nama tersebut kerana masyarakat kenal keluarga kami disebabkan nama itu,” jelasnya lanjut.

PRK Parlimen Pulai yang berakhir kelmarin menyaksikan Suhaizan memenangi kerusi itu dengan 48,283 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dengan 29,642 undi manakala calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi pula menerima 528 undi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN