Stigma Tanjung Rambutan, bukan pekan orang gila

Stigma Tanjung Rambutan, bukan pekan orang gila

PARA pesakit diberi pendedahan kemahiran seperti menternak ayam semasa menghuni Hospital Bahagian Ulu Kinta, Tanjung Rambutan. – mingguan/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Apabila disebut Tanjung Rambutan, ramai yang akan mengaitkannya sebagai tempat untuk mereka yang mengalami masalah mental.

Bandar yang terletak di daerah Kinta, Perak dengan kira-kira 30,000 orang penduduk ini cukup dikenali di seluruh negara kerana di sini terletak institusi perubatan mental yang terbesar dan tertua di negara ini.

Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) yang juga dikenali sebagai Hospital Tanjung Rambutan yang mula beroperasi sejak tahun 1911 cukup sinonim dengan pesakit dan pesalah mental hingga mengundang pelbagai persepsi negatif,

Di sebalik pelbagai tanggapan negatof itu, HBUK utuh dan tegar merawat ratusan ribu pesakit mental. Peranan pentingnya merawat pesakit terus ditagih oleh masyarakat dari seluruh negara.
HBUK menerima secara purata 1,600 pesakit setahun termasuk kes-kes melibatkan bunuh, rogol dan penyalahgunaan dadah.

Antara yang pernah dirujuk ke hospital ini termasuk kes pe­nyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman serta pelakon, Hafidz Roshdi.

DR. AHMAD QABIL KHALIB

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Pengarah (Perubatan) dan Pakar Perun­ding Psikiatri HBUK, Dr. Ahmad Qabil Khalib berkata, hospital berke­luasan 203.9 hektar itu menerima lebih kurang 110 pesakit setiap bulan.

Katanya, kebanyakan pesakit dirawat tanpa dimasukkan ke wad dan hanya kes-kes tertentu dan serius sahaja dimasukkan ke wad, itu pun tidak lama.

“Seandainya mereka stabil, kita beri ubat dan pesakit mene­rima rawatan berkala, berjumpa doktor setiap tiga bulan sekali di hospital berdekatan tempat tinggal mereka. Kalau keadaan memang serius barulah ditempatkan di wad.

“Ada pesakit yang tidak boleh kawal diri sehingga menghantuk kepala sendiri di dinding. Malah, kalau diberi ubat pun tidak ter­kawal. Jadi, orang sebegini memang perlu ditahan,” jelasnya.

Selain HBUK, tiga hospital lain yang menyediakan rawatan penyakit mental adalah Hospital Permai Johor Bahru (kemasukan zon Selatan dan zon Pantai Timur); Hospital Mesra, Sabah dan Hospital Sentosa, Sarawak.

Dr. Ahmad Qabil berkata, untuk kes jenayah dan memerlukan pemeriksaan sebelum dibuat pengesahan tahap keadaan mental seseorang, ia mengambil masa antara sebulan sehingga tiga ke empat bulan.

“Sepanjang tempoh ini, pesakit yang mendakwa dirinya gila akan dikuarantin dan dipantau daripada semasa ke semasa dengan pelbagai kaedah.

“Tempoh ini boleh disambung bergantung kepada arahan mahkamah. Ia boleh lebih empat bulan. Mereka boleh ditahan lagi sekiranya tidak mendapat keputusan disahkan mengalami gangguan mental. Malah, untuk peringkat ini, siasatan seterus­nya akan dijalankan oleh Lembaga Pelawat Hospital dengan terdiri daripada beberapa doktor dan pemimpin masyarakat,” jelasnya.

Di peringkat ini, kata Dr. Ahmad Qabil, doktor dan ahli Parlimen akan memantau aktiviti dan tingkah laku individu dengan lebih teliti menerusi beberapa kaedah termasuk rakaman ka­mera litar tertutup (CCTV) sebelum pengesahan dapat dibuat.

Malah, beliau turut mengakui ada pelajar seawal 12 hingga 14 tahun menerima rawatan di hospital ber­kenaan akibat penyakit mental.

“Bagi pelajar pula, ada dalam kalangan mereka yang mempu­nyai penyakit mental disebabkan kecacatan otak sejak lahir lagi.

“Namun, tidak dinafikan ada pertambahan golongan muda yang masuk ke hospital ini di­sebabkan stres ekoran masalah ekonomi dan gejala dadah terutama melibatkan methamphetamine atau dadah jenis sintetik lain,” ujarnya.

Untuk pesakit yang berumur pula, kata Dr. Ahmad Qabil, ada dalam kalangan mereka yang sudah berusia kira-kira 70 tahun dan ditempatkan di situ sejak beberapa tahun dahulu.

“Banyak juga yang tiada wa­ris. Ada yang tidak mahu menjaga dan memberikan pelbagai alasan.

“Sehinggakan ada juga dalam kalangan mereka yang sudah tinggal begitu lama dan ada yang meninggal dunia di sini. Malah, kami juga mempunyai kemudahan bilik mayat dan tapak perkuburan Islam, Cina dan India,” katanya.

Hospital ini juga turut dilengkapi pusat rehabilitasi kepada penghuni untuk melakukan ra­watan kendiri menerusi aktiviti pertanian dan penternakan ikan air tawar atau perkhidmatan cuci kereta.

Sementara itu, Dr. Ahmad Qabil yang juga anak jati Ipoh, Perak berkata, Tanjung Rambutan kini semakin membangun dan mula diikenali terutama membabitkan sektor pelanco­ngan.

Pesakit ada rutin agar mampu berdikari

Setiap pesakit yang ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta mempunyai rutin hari­an sendiri yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Dr. Ahmad Qabil berkata, rutin harian pesakit dibuat khusus bagi mempersiapkan mereka agar boleh berdikari apabila me­ninggalkan pusat rawatan ini.

“Untuk mereka yang keada­annya sudah terkawal, waktu pagi biasanya selepas pesakit diberi ubat mereka akan mela­kukan aktiviti seperti berkebun atau mengambil upah mencuci kereta dalam kawasan hospital ini. Pelawat atau kakitangan hospital kebiasaannya mendapatkan khidmat mereka. Pusat cuci kereta ini bukanlah untuk meraih keuntungan, sebaliknya untuk memberi peluang kepada pesakit untuk belajar supaya dapat mencari pekerjaan yang sesuai apabila keluar daripada pusat rawatan ini.

“Petugas akan memantau pe­sakit-pesakit ini dan biasanya kerja-kerja yang dilakukan ketika berkebun pula termasuklah penanam dan penyiraman. Antara hasil tanaman termasuk tebu dan sayur-sayuran,” ujarnya.

SETIAP pesakit diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi melatih mereka ketika berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

Selain itu, menurut Dr. Ahmad Qabil, semua respons pesakit terhadap kakitangan hospital setakat ini masih terkawal dan tidak terlalu agresif sehingga mengancam ke­selamatan.

“Kebiasaannya kita akan beri ubat penenang dan dite­nangkan seandainya mereka ag­resif. Kemudian mereka dipindahkan ke wad forensik mengikut kategori yang ditetapkan seperti jantina dam tahap penyakit.

“Kalau ada pergaduhan pula, kita akan asingkan mereka dalam satu blok yang berlainan,” ujarnya.

Jelasnya, pesakit mental yang dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dalam perintah mahkamah untuk menjalani pemeriksaan akan ditempatkan dalam sel khas dengan kawalan keselamatan sangat ketat.

Tanjung Rambutan bukan pekan orang gila

“Stigma Tanjung Rambutan pekan orang gila memang sudah lama kita dengar dalam masyarakat kita namun hakikatnya pekan ini sama seperti pekan lain.

“Tiada apa yang hendak ditakutkan, tiada pesakit mental dari hospital yang berkeliaran di pekan ini seperti yang diba­yangkan.”

Itu kata penduduk pekan Tan­jung Rambutan yang terdapat Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk merawat pesakit mental.

Seorang penduduk di pekan itu yang hanya mahu dikenali Azlan berkata, sepanjang tinggal di pekan itu lebih 40 tahun mengakui jika disebut Tanjung Rambutan, ia sudah pasti dikaitkan dengan pesakit mental atau ‘orang gila’ berikutan kewujudan Hospital Bahagian Ulu Kinta sejak ratusan tahun.

Begitupun, katanya, sepanjang dia tinggal di sini, tiada kes pesakit jiwa dari Hospital Bahagia yang bebas berkeliaran sehingga menimbulkan kekecohan.

Katanya, pekan Tanjung Ram­butan sama seperti pekan lain malah kini semakin maju dan membangun.

“Ya mungkin pekan kecil ini selalunya dikaitkan dengan stigma sebagai pekan orang gila, malah menjadi bahan jenaka hanya kerana di sini ada hospital rawatan untuk pesakit mental.

“Namun ia tidak seperti yang mungkin dibayangkan, tiada pesakit mental berkeliaran, keadaan itu tidak wujud langsung di sini.

“Jangan bayangkan pekan ini menyeramkan, jangan ba­yangkan di pekan ini pesakit mentalnya berkeliaran, agresif dan berbahaya, itu semua tidak betul,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini memang ada suasana di mana terdapat kelibat pesakit dari Hospital Bahagia Ulu Kinta di pekan itu, namun mereka dipercayai pesa­kit yang sudah hampir pulih.

“Namun sudah lama tiada kelibat pesakit mental di pekan ini, saya percaya ini disebabkan prosuder ketat yang dilaksanakan pihak berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pekan Tanjung Rambutan adalah sebuah pekan yang menarik jika diterokai kerana di sini terdapat kesan sejarah yang masih wujud iaitu stesen keretapi lama di tengah pekan tersebut.

Katanya, bangunan stesen ke­retapi lama itu kini ditukar fungsi kepada kedai makan yang menjadi tumpuan ramai kerana terletak di lokasi yang strategik.

“Di stesen itu masih terdapat papan tanda lama stesen keretapi Tanjung Rambutan, juga ba­ngunannya masih mengekalkan ciri-ciri binaan asal, cuma jika boleh bangunan ini dipelihara kerana ia merupakan warisan sejarah pekan ini.

“Kewujudan stesen keretapi ini membuktikan pekan ini sebuah pekan yang penting pada zaman dahulu, semasa penjajahan British,” katanya.

Menurutnya, stigma Tanjung Rambutan pekan orang gila wajar dibuang dan tiada apa yang perlu dibimbangkan jika datang atau singgah di pekan kecil ini.

Katanya, apatah lagi pekan itu terletak dalam kawasan Parlimen Tambun, iaitu kawasan Parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak beliau menjadi wakil rakyat di sini, sudah ada perubahan di sini yang semakin diperindah. Saya percaya sebagai wakil rakyat, tentunya Perdana Menteri mahu pekan kecil dalam kawasan Parlimen beliau juga maju seperti tempat-tempat lain,” katanya.

‘Tidak malu jadi anak Tanjung Rambutan’

Stigma negatif dan perasaan malu tidak pernah timbul kepada para penduduk Tanjung Rambutan, Perak, berikutan nama tempat itu sinonim dengan pusat pemulihan pesakit mental.

Malah rata-rata penduduk ber­bangga dengan ‘populariti’ tersebut dan melihat kewuju­dan Hospital Bahagia Ulu Kinta sedikit sebanyak membantu kepada pembangunan di kawasan berhampiran.

Bagi Muhamad Adzhar Tajuddin 38, dia kini merasakan Tanjung Rambutan dan Hospital Bahagia Ulu Kinta semakin dekat di hatinya dan melihat potensi pekan kecil yang boleh dibangunkan.

“Saya tidak menafikan semasa zaman kecil dulu memang ada rasa malu. Apabila kawan-kawan tanya saya berasal dari mana, saya hanya beritahu Ipoh sahaja.Takut kawan-kawan gelak.

“Tetapi, kini tidak lagi. Saya terus beritahu beritahu bahawa saya orang Tanjung Rambutan sebab ia semakin dikenali walaupun ada yang tidak pernah sampai ke sini,” katanyai.

Tambah Adzhar, dia juga berbangga sebagai anak jati Tanjung Rambutan selepas melihat pembangunan dan kemajuan yang ada di kawasan sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN