ST12 bukan sekadar band, tetapi satu jenama - Utusan Malaysia

ST12 bukan sekadar band, tetapi satu jenama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Sesiapa pun yang menggalas peranan sebagai vokalis, jenama ST12 tetap dibawa bersama.”

Demikian jawapan pemain dram ST12, Ilham Febry atau Pepep ketika diminta mengulas ‘kerisauan’ segelintir peminat berhubung ketiadaan bekas vokalis, Charly di ST12 Live Concert In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November depan.

Jelas Pepep, penampilan Aris dan Firman yang pernah bekerjasama dengan ST12 menerusi single Kepingan Hati pada 2019 tetap mampu menghidupkan aura dan jenama kumpulan asal Indonesia tersebut.

“ST12 bukan lagi sekadar sebuah band, sebaliknya ia sudah menjadi sebuah jenama. Siapa pun terpilih menggalas peranan itu, posisi ST12 tetap dipertahankan.

“Malah kami sentiasa mencuba dan membuka peluang bekerjasama dengan semua penyanyi berbakat hebat.

“Alhamdulillah, usaha ST12 berhasil apabila kerjasama kami dengan beberapa penyanyi terdahulu meraih kejayaan luar biasa,” katanya.

Berbicara tentang pemilihan Hazama yang bakal bersama menyerikan ST12 Live Concert In Kuala Lumpur, Pepep berkata, penyanyi Ku Relakan Jiwa mempunyai bakat dan aura tersendiri.

“Kami mahu menyatukan pengkarya antara dua negara serumpun, selain memperluaskan lagi pengaruh muzik ST12 dengan mendekati kelompok peminat baharu. Jadi Hazama adalah pilihan yang tepat.

“Malah kami juga bakal melancarkan single bersama, Harapan Tak Kunjung Usai. Ini antara usana kami menyajikan sesuatu yang segar dan berbeza buat peminat di kedua-dua negara.

“Kita juga sedar, pencinta muzik baik di Malaysia, mahupun di Indonesia mempunyai cita rasa sama,” kongsinya.

Sementara itu, Hazama yang berbesar hati dengan peluang diberikan menyifatkan kolaborasi bersama ST12 sebagai ruang terbaik untuk memperkenalkan bakatnya di negara jiran.

“Siapa yang tidak kenal ST12? Saya sendiri mengagumi kekuatan muzik mereka yang berjaya menyatukan peminat di kedua-dua negara.

“Apabila diberi kesempatan besar seperti ini, pastinya saya menyambut dengan tangan yang terbuka.

“Kolaborasi ini juga membuka ruang untuk saya meneroka pasaran baharu dengan lebih agresif, sekali gus membantu saya memahat nama dengan lebih kukuh di Indonesia,” katanya.

ST12 Live Concert In Kuala Lumpur dibawakan secara eksklusif oleh My Legacy Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Laskhar Entertainment.

Tiket ST12 Live In Malaysia pada harga RM139 (Kepingan Hati), RM169 (Puspa), RM229 (Cukup Sampai Di Sini), RM289 (Putih Putih Melati) dan RM4099 (Jalan Terbaik – Royal Box VVIP) boleh diperoleh menerusi pautan: www.ticket2u.com.my/st12.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya